KUALA LUMPUR: Penyanyi dan personaliti media sosial, Ryan Bakery, berdebar menunggu hari isterinya, Elyia Ibrahim melahirkan putera sulung mereka yang dijangka sekitar minggu hadapan.
Bakal bergelar bapa buat pertama kali, Ryan sudah mempersiapkan mental untuk menguruskan cahaya mata yang diberi nama Ryan Ezra dan istrinya sepanjang proses berpantang nanti.
“Sejujurnya saya sangat takut dan berdebar maklumlah pertama kali hendak menjadi bapa. Sekarang kandungan sudah 36 minggu, doktor jangka awal Januari depan mungkin bayi akan keluar.
“Alhamdulillah, semua persiapan termasuk kelengkapan bayi sudah disediakan. Tapi apa yang lebih penting ialah mental sebab kata orang isteri akan mengalami perubahan emosi semasa proses berpantang,” katanya.
Ryan ditemui Utusan Malaysia di majlis makan bersama Indigital Music & FYP media, di Taman Melawati, semalam.
Bekas peserta pertandingan Famili Duo musim ketiga itu juga terharu apabila ramai pengikut di media sosial turut berkongsi nasihat kepadanya.
“Ramai sangat yang memberikan nasihat. Kadangkala kalau jumpa di luar mereka akan minta bergambar.
“Selepas itu mereka akan salam dan memberikan nasihat rumah tangga dan persediaan menjadi bapa. Dapatlah saya sedikit sebanyak menambah ilmu.
“Selain itu ada juga saudara mara dan bapa saya sendiri beri nasihat. Bapa saya cuma kata ‘steady, semua kena steady’,” katanya berseloroh.
Ryan kini mengambil keputusan menetap di Puncak Alam, Selangor bagi memudahkan isterinya bersalin di sebuah hospital swasta yang terletak di Shah Alam.
“Sekarang saya menetap di kawasan Puncak Alam kerana banyak tuntutan kerja di sini.
“Di samping itu, isteri saya akan melahirkan di sebuah hospital di Shah Alam. Perjalanan akan mengambil masa setengah jam. Berdebar juga.
“Saya mohon agar semua mendoakan saya dan proses melahirkan berjalan lancar,” katanya.
Untuk rekod, Ryan dan Elyia sah bergelar suami isteri pada 1 Oktober 2022 dengan mas kahwin sebanyak RM100.