Rombakan Kabinet bukan percaturan PKR - Wee Tse

Rombakan Kabinet bukan percaturan PKR – Wee Tse

WEE Tse (tengah) menyerahkan sijil kepada penerima dalam Hari Terbuka Parlimen Tebrau 2023, Mini Karnival Kerjaya, Pemeriksaan Kesihatan Percuma dan Sukan Rakyat Futsal Bistari Perdana di Bandar Bistari Perdana, Pasir Gudang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG : Rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu bukan percaturan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Pengerusi II PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, dakwaan bahawa rombakan dilakukan Anwar yang juga Presiden PKR itu disebabkan terdapat dua kem dalam parti tersebut adalah tidak benar.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Pulai menegaskan, tiada agenda tersirat di sebalik tindakan rombakan Kabinet itu dilakukan untuk kepentingan rakyat.

“Saya rasa dakwaan ini tak munasabah dan tiada merit. Rombakan Kabinet adalah di bawah kuasa prerogatif Perdana Menteri dan tidak ada isu dengan parti, rombakan ini untuk kuatkan pasukan sedia ada.

“Saya tidak nampak apa-apa kem dalam PKR, tiada kem Anwar atau (Timbalan Presiden PKR), Rafizi Ramli, yang ada hanya satu kem sahaja dalam PKR.

“Saya tak nampak ada percaturan dan rombakan ini supaya perkhidmatan kerajaan lebih lancar untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Hari Terbuka Parlimen Tebrau 2023, Mini Karnival Kerjaya, Pemeriksaan Kesihatan Percuma dan Sukan Rakyat Futsal Bistari Perdana di Bandar Bistari Perdana, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tebrau itu turut menyerahkan Sijil Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) tajaan Pusat Khidmat Parlimen Tebrau kepada 100 suri rumah dalam kawasan Parlimen terbabit.

Selasa lalu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet buat kali pertama selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang bertujuan membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.

Dalam pada itu, Wee Tse berkata, pihaknya akan bertemu dengan agensi kerajaan, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan pihak konsesi terlibat bagi menyelesaikan isu jejambat di Cahaya Baru di sini yang masih belum beroperasi walaupun sudah siap Oktober 2021.

Katanya, jejambat itu tidak dapat dibuka lagi disebabkan masalah teknikal serta isu pampasan dan diharap dapat diselesaikan pada tahun depan sekali gus mengatasi masalah kesesakan di kawasan sekitar.

“Masalah ini sudah banyak kali saya bangkitkan di Parlimen termasuk bertemu dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Saya ada sedikit kecewa dangan perkembangan projek ini dan rakyat juga berhak untuk marah.

“Disebabkan masih tidak dapat beroperasi kesesakan teruk berlaku pada setiap pagi di kawasan Kota Masai dan Pasir Puteh. Keadaan ini tidak membantu pembangunan di kawasan ini,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN