Rezeki yang akan saya kenang seumur hidup - Utusan Malaysia

Rezeki yang akan saya kenang seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Azira Shafinaz, tidak menyangka lakonannya di dalam naskhah Ijab Kabut melayakkannya membawa pulang trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AACA) pada Jumaat.

Pada majlis anugerah yang berlangsung di Singapura itu, Azira atau Azira Shafinaz Ramlan, 32, menewaskan calon dari lima negara lain sekali gus meraih anugerah pertamanya selepas satu dekad bergelar anak seni.

“Saya memang tidak jangka yang saya akan menang. Semasa nama diumumkan, ucapan pun saya tidak sediakan. Alhamdulillah kemenangan ini sangat berharga untuk seorang Azira di samping membawa nama Malaysia.

“Orang nampak titik peluh saya dalam bidang lakonan. Ia rezeki yang akan saya kenang seumur hidup. Ia rezeki terbesar saya tahun ini.

“Sebelum ini saya pernah tercalon beberapa kali untuk anugerah di Malaysia, namun siapa sangka anugerah pertama yang saya dapat datangnya dari luar iaitu peringkat Asia. Sekali lagi, saya memang tak sangka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Lebih manis, trofi kemenangan Azira pada majlis anugerah tersebut turut disampaikan oleh idolanya iaitu pelakon Susan Lankester.

“Orang yang mengumumkan kemenangan saya juga ialah idola yang memang saya sudah lama idamkan untuk bekerja dengannya iaitu Susan Lankester.

“Semua benda terjadi dengan sangat baik sejak dari penggambaran naskhah Ijab Kabut lagi. Saya ingat lagi waktu pertama kali dapat tawaran cerita komedi ini, saya kata kepada mereka yang saya bukan pelawak.

“Tapi produksi suruh saya baca dahulu skrip. Kemudian saya sendiri suka dengan jalan ceritanya yang sangat kelakar,” tambahnya lagi.

Dalam majlis tersebut, Azira mengalahkan lima calon lain iaitu Jeannie Ng Ka Yan dari Hong Kong, Ratna Pathak Shah dari India, Isabelle Daza dari Filipina, Yuvaraj Krishnasamy dari Singapura dan Nhan Phuc Vinh dari Vietnam.

Ijab Kabut merupakan siri drama arahan Faliq Sharif yang ditayangkan di platform penstriman Viu pada 13 Oktober tahun lalu.

Anak tempatan yang turut sama merangkul anugerah pada malam tersebut ialah Johan Bahar bagi kategori suntingan terbaik dalam drama bersiri Nenek Bongkok Tiga yang ditayangkan di platform Viu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN