Remaja cuba rompak pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah

Remaja cuba rompak pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah

REMAJA yang dituduh cuba melakukan rompakan terhadap seorang pemandu e-hailing dikawal polis selepas selesai pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan cuba melakukan rompakan terhadap seorang pemandu e-hailing, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 13 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu terhadap Lee Ang Hie, 65, di kawasan tepi jalan Taman Keladi kira-kira pukul 6 petang, 27 November lalu.

Remaja terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Duratul Ain Mahmud Morshidi.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 17 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahan dokumen.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja T berwarna merah tiba ke pekarangan Mahkamah Sungai Petani kira-kira pukul 8 pagi bersama ahli keluarganya sebelum diiring polis ke kamar.

Dalam kejadian terbabit, pemandu e-hailing berkenaan menerima pesanan penumpang kira-kira pukul 5.43 petang untuk dihantar dari Taman Keladi ke Bandar Sri Astana, di sini.

Semasa dalam perjalanan, remaja itu meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 dengan mendakwa mahu membayar sewa rumah.

Mangsa memberitahu sekiranya tidak mempunyai wang dia terpaksa menurunkan remaja terbabit di lokasi tersebut, namun suspek enggan dan meminta dihantar ke rumahnya untuk mengambil wang tambang.

Ketika berhenti di bahu jalan, suspek tiba-tiba mengacukan sebilah pisau berukuran 25 sentimeter (cm) ke arah dada mangsa dan cuba merampas wang daripada poket mangsa, namun cubaan itu sempat dipatahkan dengan warga emas itu menggigit tangan suspek. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN