SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang terlibat dengan kes cubaan samun terhadap pemandu e-hailing di Taman Keladi, di sini Selasa lalu berdepan pertuduhan di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang belajar di tingkatan satu itu didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada pukul 9 pagi.
“Kita telah mendapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa remaja terbabit.
“Waris keluarga remaja itu telah dimaklumkan dan diarah membawanya ke mahkamah esok untuk proses pendakwaan kes di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba merompak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Khamis lalu, remaja itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman sehari yang dikenakanan terhadapnya tamat.
Ketika kejadian, remaja terbabit turut mengacukan pisau ke bahagian dada seorang pemandu e-hailing warga emas berusia 65 tahun yang didakwa memakinya selain cuba mendapatkan kembali wang tambang perkhidmatan itu pada pukul 6.20 petang.
Dalam pada itu, Zaidy berkata, suspek warganegara Nepal yang terlibat dalam kes menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun turut didakwa di Mahkamah Majistret Gurun, esok.
Katanya, suspek berusia 26 tahun itu dijangka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan selepas ditahan dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi, Ahad lalu. – UTUSAN