Pulau Pinang catat pelaburan RM44.9 bilion setakat suku ketiga tahun ini - Utusan Malaysia

Pulau Pinang catat pelaburan RM44.9 bilion setakat suku ketiga tahun ini

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) dalam sidang akhbar mengenai situasi terkini pelaburan di Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang, hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan yang membanggakan iaitu sebanyak RM44.9 bilion merentasi pelbagai sektor merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama setakat suku ketiga tahun ini (Januari hingga September).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia didorong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan yang diluluskan berjumlah RM35.8 bilion iaitu peningkatan 634 peratus dari tahun ke tahun.

“Pulau Pinang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada FDI pembuatan negara dengan menguasai 42 peratus dalam tempoh ini.

“Sumbangan utama datang dari negara seperti Belanda, Amerika Syarikat dan Singapura iaitu menyumbang 95 peratus dari pelaburan pembuatan di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, pada suku ketiga 2023, Pulau Pinang sekali lagi membuktikan menjadi minat pelabur sama ada baharu dan sedia ada dengan aliran masuk pelaburan sebanyak RM34.6 bilion dari sektor pembuatan iaitu peningkatan 421 peratus.

Jelas beliau, pertumbuhan luar biasa itu didorong terutama oleh pelaburan langsung asing yang menyumbang sebanyak RM33.0 bilion atau 95 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan di Pulau Pinang.

“Kemasukan FDI yang besar ini menggariskan keyakinan teguh pelabur antarabangsa terhadap potensi Pulau Pinang dan peluang lumayan yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, pelaburan langsung domestik (DDI) pula menyumbang RM1.6 bilion, iaitu baki lima peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan.

”Walaupun penurunan 15 peratus tahun ke tahun dalam pelaburan langsung domestik (DDI) pada RM3.1 bilion, jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk tiga suku pertama 2023 berjumlah RM38.9 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pulau Pinang menjadi penyumbang tertinggi dalam kalangan negeri-negeri lain iaitu 39 peratus dalam pelaburan pembuatan negara yang diluluskan.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganggarkan pelaburan ini yang diagihkan merentasi 107 projek akan menjana kira-kira 11,121 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

“Kejayaan ini disumbang oleh industri utama, iaitu Elektrik dan Elektronik, Jentera dan Peralatan serta Logam Fabrikasi Produk.

“Sektor-sektor ini secara kolektif menyumbang 98 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan Pulau Pinang yang diluluskan pada sembilan bulan pertama 2023, menekankan peranan penting kami dalam memacu penyertaan Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.