Program Setahun Bersama Kerajaan Madani sasar 200,000 pengunjung

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani sasar 200,000 pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan penganjuran tiga hari Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bermula 8 Disember ini akan menarik kedatangan sehingga 200,000 pengunjung.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, program tersebut bertujuan menyebar luas serta mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat.

Kata beliau, pada masa sama, ia bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan sepanjang pencapaian setahun Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Program ini akan memaparkan pelbagai pencapaian dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat berkonsepkan seperti Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi sebelum ini.

“Sejumlah 102 perkhidmatan kerajaan akan ditempatkan secara langsung termasuk kaunter perkhidmatan bergerak daripada agensi-agensi tertentu yang bukan berbentuk hiburan atau meraikan pencapaian setahun tetapi lebih kepada membawa perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sesi temubual bersama media di sini baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu turut bermatlamat membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Ketiga-tiga komponen ini merupakan ikhtiar kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan.

Program ini turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku urus setia bersama program itu yang akan diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat dan Jualan Mega Madani.

Katanya, rakyat juga berpeluang untuk melihat pencapaian kerajaan melalui pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan.

Perdana Menteri dijangka merasmikan penutupan program itu pada 10 Disember dan akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.

Para pengunjung dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ke lokasi bagi memudahkan pergerakan kerana pada hari pertama penganjuran berlaku pertembungan dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang turut diadakan di lokasi sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN