PETALING JAYA: Polis menahan lapan individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan di premis hiburan di Jalan Raja Chulan dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, individu-individu yang ditahan itu berusia lingkungan 26 tahun hingga 46 tahun.
“Tiga individu direman sehari manakala lima orang lagi akan direman hari ini bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kes itu masih berjalan dan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
“Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi 45 saat memaparkan pergaduhan sekumpulan individu di kawasan parkir sebuah premis hiburan.- UTUSAN