KUBANG PASU: Polis menahan dua lelaki serta merampas lebih 10 kilogram (kg) ganja ketika kedua-dua suspek bertemu di tempat meletak kenderaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, tangkapan dibuat pada pukul 4.45 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang warganegara Thailand berusia 30 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun.
“Pemeriksaan terhadap sebuah beg galas yang dirampas daripada lelaki Thailand tersebut menemukan 10 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar.
“Berat keseluruhan ketulan ganja tersebut dianggarkan 10.2kg dengan nilainya mencecah RM33,000. Selain itu, kami turut menyita dua motosikal jenis Honda RS150 dinaiki kedua-dua suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan jalan tikus manakala warganegara Thailand itu pula bertindak sebagai ‘transporter’.
“Kedua-dua individu berkenaan dipercayai turut bertindak sebagai pengedar dan mereka mungkin mengambil bekalan dadah terbabit untuk sindiket tertentu.
“Dadah tersebut sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh kira-kira 4,000 penagih. Ujian urin dijalankan terhadap kedua-dua lelaki terbabit mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, semakan mendapati lelaki Thailand tersebut yang merupakan seorang penganggur tidak memiliki rekod lampau manakala warga tempatan berkenaan yang bekerja sebagai buruh mempunyai enam rekod lampau.
“Kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. –UTUSAN