PGR bantu semai minat sukan golf dalam kalangan pelajar, eksekutif muda - Utusan Malaysia

PGR bantu semai minat sukan golf dalam kalangan pelajar, eksekutif muda

AZHAR Arshad (kanan) memalu gong sebagai simbolik perasmian Program Golf Remaja dan Eksekutif di Penang Golf Resort, Bertam, Pulau Pinang hari ini, sambil diperhatikan Ahmad Nor Sabu (tengah) dan Sahul Hameed Muhamed Sultan (kiri). - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Sebagai sebahagian usaha ‘merakyatkan’ sukan golf khususnya dalam kalangan pelajar serta eksekutif muda, Penang Golf Resort Berhad (PGR) tampil dengan inisiatif tersendiri menerusi pelancaran Program Golf Remaja dan Eksekutif iaitu yang program pertama seumpamanya di sini.

Dijalankan sebanyak empat peringkat dengan setiap peringkat berlangsung selama tiga bulan, program itu berjaya direalisasikan hasil usahasama dengan jurulatih golf profesional, Mohd. Rizam Ali atau lebih dikenali sebagai Pro Rizam.

Pengurus Besar PGR, Sahul Hameed Muhamed Sultan berkata, pihaknya berharap program tersebut dapat dijadikan platform terbaik terutama dalam kalangan remaja yang cemerlang dalam sukan itu untuk beraksi dalam siri pertandingan golf antarabangsa di bawah kendalian Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Sport Excel.

SAHUL HAMEED MUHAMED SULTAN.

“Untuk Program Golf Remaja ini, PGR menyasarkan sehingga 45 peserta bagi setiap peringkat iaitu bermula dari peringkat asas, pertengahan hingga lanjutan iaitu peringkat yang melayakkan mereka menyertai mana-mana pertandingan golf berkaitan.

“Program Golf Eksekutif pula lebih terbuka dan kita berharap menerima sehingga 15 penyertaan bagi setiap peringkat membabitkan eksekutif-eksekutif muda yang sibuk bekerja, namun meminati sukan golf.

“Kita sasarkan penyertaan ini dari sekolah-sekolah di sekitar Pulau Pinang bagi kategori remaja manakala kategori eksekutif turut dibuka kepada mereka yang tinggal dan bekerja di seluruh utara Semenanjung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran kedua-dua program itu yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bertam Properties, Datuk Ahmad Nor Sabu.

AZHAR Arshad memperlihatkan bakatnya bermain golf pada majlis perasmian Program Golf Remaja dan Eksekutif di Penang Golf Resort, Bertam, Pulau Pinang, hari ini. – Pic: IQBAL HAMDAN

Sempena pelancaran program itu juga, tetamu berpeluang menyaksikan permainan golf yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Pro Rizam selain menonton video inspirasi daripada Pengarah Eksekutif Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Sivanandan Chinnadurai.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, usaha PGR untuk menganjurkan program berkaitan golf di peringkat usia remaja serta dalam kalangan eksekutif muda wajar menerima pujian.

Katanya, untuk jangka panjang, program itu dilihat mampu memberi impak yang besar terhadap industri golf sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang sukan tersebut.

“Kita jangan anggap golf ini sebagai sukan eksklusif iaitu untuk orang tertentu sahaja, sebaliknya perlu melihat sukan ini juga seperti sukan-sukan lain.

“Mungkin peralatan untuk bermain golf agak mahal bagi sesetengah orang. Tapi sebenarnya, ia hanya pada peringkat permulaan sahaja kerana peralatan ini biasanya tahan lama iaitu sehingga bertahun-tahun,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya