RSGC terus lahirkan bintang golf wanita Asia

RSGC terus lahirkan bintang golf wanita Asia

PENGERUSI RSGC Omar Salim (tengah) memegang Piala Kejohanan Golf Amatur Terbuka Wanita Royal Selangor Golf Club (RSGC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Golf Amatur Terbuka Wanita Royal Selangor Golf Club (RSGC) terus membuktikan statusnya sebagai antara kejohanan paling berprestij di rantau Asia-Pasifik apabila memasuki edisi ke-49 tahun ini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pentas melahirkan bakat baharu golf wanita Asia.

Sejak diperkenalkan hampir lima dekad lalu, kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi kejohanan golf amatur wanita berasaskan kelab persendirian paling lama dianjurkan di negara ini, malah berfungsi sebagai platform penting untuk pemain muda mengasah bakat sebelum melangkah ke peringkat antarabangsa dan profesional.

Pengerusi RSGC, Omar Salim berkata, kejohanan yang akan berlangsung pada Ogos depan itu mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah pertandingan golf kerana ia turut membawa legasi pembangunan sukan wanita yang berterusan.

Menurut beliau, ramai pemain muda hadir ke RSGC dengan impian untuk menguji kemampuan menentang pemain terbaik rantau ini sebelum menggunakan pengalaman yang diperoleh sebagai pemangkin untuk mengembangkan karier masing-masing.

“Kejohanan ini bukan sekadar mengenai sejarahnya, tetapi legasi yang terus kita bina.

“Setiap tahun, pemain muda hadir ke RSGC dengan impian untuk mencabar pemain terbaik Asia, dan ramai meninggalkan kejohanan ini dengan keyakinan, pengalaman serta kepercayaan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya pada sidang media Kejohanan Golf Amatur Terbuka Wanita RSGC Ke-49 2026, baru-baru ini.

Menurut Omar, kejohanan tersebut telah melahirkan ramai pemain yang kemudiannya berjaya mencipta nama di arena antarabangsa, sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai medan pembangunan bakat.

Beliau berkata, antara contoh terbaik ialah juara edisi 2025 dari Indonesia, Bianca Naomi Amina yang meneruskan kecemerlangannya apabila muncul juara Kejohanan Golf Amatur Antarabangsa Medco-Pondok Indah tidak lama selepas kejayaan di RSGC.

Selain itu, pemain Singapura, Winnie Ng yang menjuarai kejohanan tersebut pada 2019 dan 2024 turut menjadikan kejayaan berkenaan sebagai batu loncatan sebelum beralih ke arena profesional.

Malaysia juga mempunyai kisah kejayaan tersendiri menerusi Mirabel Ting yang menjuarai edisi 2023 sebelum mencipta sejarah sebagai pemain golf amatur wanita negara dengan ranking tertinggi dunia apabila menduduki tangga kedua Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).

Lebih membanggakan, Mirabel turut meraih Anugerah ANNIKA yang diberikan kepada pemain golf kolej wanita terbaik di Amerika Syarikat sebelum memilih untuk meneruskan karier di pentas profesional.

Bagi Omar, pencapaian pemain-pemain tersebut membuktikan bahawa kejohanan RSGC bukan sekadar medan persaingan, tetapi turut berperanan sebagai platform pembangunan yang mampu membentuk bintang masa depan golf wanita.

“Edisi tahun ini menghimpunkan 35 penyertaan dari sembilan negara iaitu Malaysia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Indonesia, Australia, Taiwan dan Vietnam.

“Penyertaan antarabangsa yang kukuh ini mencerminkan reputasi serta prestij kejohanan yang telah dibina sepanjang hampir lima dekad, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kejohanan golf amatur wanita terpenting di rantau Asia-Pasifik,” katanya.

Kehadiran pemain dari pelbagai negara dijangka meningkatkan lagi tahap persaingan, selain memberi peluang kepada pemain tempatan mengukur kemampuan mereka menentang bakat-bakat terbaik rantau ini.

Dengan sejarah yang panjang, reputasi yang semakin kukuh dan rekod melahirkan pemain bertaraf dunia, Kejohanan Golf Amatur Terbuka Wanita RSGC terus berdiri megah sebagai salah satu kejohanan paling berpengaruh dalam pembangunan golf wanita di Asia-Pasifik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN