PETALING JAYA: Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa pertukaran portfolio Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Kementerian Pertahanan kepada Kementerian Luar bertujuan melemahkan kedudukannya dalam parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Kementerian Luar dilihat tidak strategik bagi Mohamad kerana beliau terpaksa berada di luar negara untuk tempoh yang lama dan membuka ruang untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terus mencatur sokongan dirinya sendiri dalam UMNO.
“Di bawah Kementerian Luar juga tidak banyak agensi yang Tok Mat (Mohamad) boleh gunakan untuk bagi payung kepada akar umbi UMNO. Maka nilai Tok Mat dalam parti akan turun.
“Maksudnya walaupun melakukan khidmat penting untuk negara, kedudukan Tok Mat dalam UMNO sedang dilemahkan oleh Ahmad Zahid. Anwar bantu mencaturkan untuk melemahkan rival (musuh) Zahid sebab Zahid mungkin sudah mula rasa insecure (tidak selamat) juga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, pelantikan seorang tokoh korporat sebagai Menteri Kewangan II menunjukkan betapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada keyakinan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen sendiri.
“Dalam sebegitu ramai ahli Dewan Rakyat kerajaan dan sebegitu ramai pemimpin parti-parti dalam kerajaan yang boleh dilantik jadi Senator, nampaknya Anwar berpandangan tiada seorang pun kompeten untuk menjadi Menteri Kewangan II. Maka dia terpaksa mencari orang yang kompeten dari luar Parlimen dan luar parti,” katanya.
Wan Saiful kemudian secara sinis menyifatkan pelantikan anak veteran DAP, Lim Kit Siang iaitu Lim Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Kewangan, sudah pasti agenda pembangunan ekonomi bumiputera akan terus subur dengan kehadirannya.
Sementara itu, katanya bilangan Menteri sudah bertambah sehingga kementerian pun dipecahkan untuk membolehkan sokongan dibeli melalui jawatan dan lantikan.
“Selepas ini sudah pasti sokongan terus dibeli dengan lantikan ke agensi-agensi hinggalah ke peringkat kampung-kampung. Dulu Anwar janjikan saiz kabinet dikecilkan. Kita lambai tangan dan ucapkan ‘ta-ta’ (selamat tinggal) kepada janji ini yang sudah ke laut,” katanya – UTUSAN