JERANTUT: Musim tengkujuh kebiasaannya menjadi pesta buat penduduk Ulu Tembeling yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling apabila mengadakan pertandingan memancing ikan liar dengan menggunakan kail pelepah salak atau sinonim disebut ‘kail sebaur’ di Kampung Kuala Sat di sini.
Hanya terbuka kepada wanita, setiap peserta disyaratkan berpakaian ‘perempuan turun ke sungai’ yang merupakan tradisi masyarakat Melayu Kuala Sat sejak dahulu dengan menutup kepala menggunakan kain, membawa beg mengkuang, berkain batik dan sebatang kail pelepah salak kira-kira sepanjang lima hingga tujuh meter.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah berkata, aktiviti memancing menggunakan pelepah salak atau sebaur antara paling menarik perhatian saudara mara dari luar yang pulang bercuti ke kampung ini selain ini pengunjung yang ingin mencari pengalaman rekreasi dan melancong pada musim tengkujuh.
“Ketika memancing, peserta bukan sahaja memancing di tepi sungai malah (dibenarkan) ada yang ‘berani’ masuk ke dalam Sungai Tembeling di paras pinggang untuk mencuba nasib menangkap ikan liar yang banyak ketika air sedang naik.
“Mereka (peserta) tidak menghiraukan hujan lebat yang turun malah penonton yang berdiri di tepi sungai turut basah kuyup kelihatan seronok menyaksikan peristiwa (pertandingan) yang jarang dilihat di tempat lain,” katanya di Kampung Kuala Sat di sini semalam.
Menurut Abdul Jabar, keseronokan memancing merupakan tradisi di musim tengkujuh warisan orang-orang tua terdahulu apabila ikan liar mula menyambar mata kail dan dituruti sorakan penonton yang berada di tepi sungai.
Katanya, sekiranya bernasib baik spesies ikan liar seperti ikan lampam, kerai dan ikan lawang akan tersangkut di mata kail malah pernah ada peserta memancing yang memperoleh ikan kelah sebelum ini.
“Pemenang akan dikira berat ikan liar yang diperoleh dalam tempoh satu jam dan apabila selesai ditimbang serta diberi markah kedudukan pemenang, ikan berkenaan menjadi hak milik peserta akan dibawa pulang untuk makanan keluarga,” katanya.
Katanya, pertandingan memancing itu sempena Karnival Komuniti Kuala Sat yang setiap tahun diadakan membabitkan pelbagai aktiviti seperti kenduri sekampung, sukaneka, pertandingan sepak takraw dan sepakan penalti tutup mata.
“Kita maklum program ini diadakan ketika musim tengkujuh dan hujan lebat berasaskan tradisi orang-orang tua terdahulu juga mengadakan aktiviti yang sama sebagai satu pesta kampung untuk mengeratkan ukhuwah dengan saudara-mara jauh dan dekat serta penduduk setempat,” katanya. –UTUSAN










