Pengarah syarikat didenda 9,000, penalti khas RM536,000 - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat didenda 9,000, penalti khas RM536,000

NUR Faraziela Mohamad (tengah) yang mengaku bersalah gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan kepada LHDN meninggalkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pengarah syarikat didenda RM9,000 dan penalti khas lebih RM536,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan pada 2019 dan 2020.

Majistret Yuhanis Mohd. Roslan membuat keputusan itu selepas orang kena saman (OKS), Nur Faraziela Mohamad, 42, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya, hari ini.

Mengikut pertuduhan, OKS ialah pengarah yang bertanggungan di bawah Seksyen 75 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi syarikat kontraktor pembinaan, Cherang Sepadu Sdn. Bhd.

Di bawah seksyen itu, OKS dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi Tahun Taksiran 2019 dan Borang C bagi Tahun Taksiran 2020 mengenai pendapatan syarikat.

Pendapatan bercukai pada 2019 adalah RM28,083 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM4,774.11 manakala pendapatan bercukai 2020 adalah RM900,315 yang boleh dikenakan cukai 174,075.60.

Namun OKS tanpa sebab munasabah gagal mengemukakan penyata tersebut yang mempunyai pendapatan bercukai seperti ditentukan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mengikut pertimbangan terbaiknya.

Jika didapati bersalah, OKS boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua dan penalti khas tiga kali ganda cukai di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Prosiding pendengaran dikendalikan Pegawai Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Noor Mazida Buliami dan Nurfarhana Muhamed Sanari manakala OKS tidak diwakili peguam.

Nur Faraziela dalam rayuannya mengakui menyesal dan insaf dengan kesalahan itu serta memohon mahkamah meringankan denda dan membuat pembayaran penalti khas secara ansuran.

Pihak pendakwaan dalam hujahannya pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas kesalahan berulang itu pada 2019 dan 2020 yang menyebabkan ketirisan kepada hasil cukai negara.

Mahkamah kemudian selepas menimbang keterangan kedua-dua pihak mengenakan denda RM9,000 dan sembilan bulan penjara jika gagal bayar serta penalti khas RM536,549.13 kepada OKS.

Selain itu, Nur Faraziela juga perlu menjelaskan amaun cukai tertunggak bagi tahun taksiran 2019 dan tahun taksiran 2020 syarikat berkenaan iaitu sebanyak RM178,849.71. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya