Pengakuan salah ditolak, bicara stalker jurugambar 17 Januari

Pengakuan salah ditolak, bicara stalker jurugambar 17 Januari

MOHAMAD Safiq Rosli dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dengan diiringi polis di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini semalam menolak pengakuan salah seorang bekas pereka sambilan yang menjadi individu pertama dituduh di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana menganggap tertuduh layak dibicarakan.

Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan demikian terhadap Mohamad Safiq Rosli 37, selepas menerima bantahan awal dikemukakan pihak pendakwaan mengenai laporan kesihatan mental dan ketidakwarasan tertuduh yang dikatakan fit for trial dan fit for plea.

“Saya tidak menerima pengakuan bersalah tertuduh dan kes diteruskan dengan proses perbicaraan. Pengakuan bersalah sebelum ini dianggap sebagai pengakuan bersyarat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas berkata, laporan psikiatri membuktikan tertuduh tidak waras ketika melakukan kesalahan itu namun ia tidak mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan (KK).

“Tertuduh perlu memenuhi faktor kewarasan mengikut undang-undang dan kewarasan dalam laporan perubatan untuk digunakan dalam pengakuan bersalah.

“Laporan perubatan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta hanya pemeriksaan kesihatan mengenai kewarasan namun pemeriksaan kewarasan mengikut undang-undang tidak terjawab. Satu-satunya cara membuktikan kewarasan ikut undang-undang adalah menerusi perbicaraan penuh,” katanya.

Malah, peguam tertuduh, Fithril Hakim Ab. Jalil dalam hujahannya menegaskan, keadilan tidak ditegakkan jika anak guam dikekalkan dalam penjara berikutan keadaan mentalnya.

“Saya memohon mahkamah menggunakan Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah bagi membebaskan seseorang atas pertuduhan di mahkamah atas alasan gangguan mental sebelum mengarahkannya ditahan di hospital mental mengikut tempoh diperkenan pemerintah negeri.

“Pihak pendakwaan tahu mengenai keadaan mental tertuduh ketika menyatakan kes ini perlu dibawa untuk perbicaraan. Anak guam akan terus berada dalam penjara dan tiada keadilan untuk jika kekal di situ,” katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili mangsa, Jason Wee memohon perbicaraan berkenaan dilakukan secara dalam talian kerana mangsa berada di luar negara dan atas faktor keselamatan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 17 Januari ini untuk memulakan prosiding perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun @sopert99 secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun “@ShaFoShizzle”.

Pada Jumaat lalu, Mohamad Safiq dilaporkan menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pertuduhan dimohon dibacakan semula ke atasnya oleh peguamnya.

Bagaimanapun, ketika itu Sasha Diana kemudian menyatakan mahkamah menerima pengakuan bersalah oleh Mohamad Safiq apabila mengambil kira status fit for trial dan fit for defence. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN