DUNGUN: Hampir 500 penduduk di Felda Rasau Kerteh, dekat sini, berdepan detik cemas apabila kawasan perkampungan itu dilanda banjir kilat, petang semalam.
Rata-rata penduduk mendakwa kejadian yang berlaku di Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya kira-kira pukul 4 petang itu pertama kali berlaku sepanjang lebih 40 tahun kawasan Felda itu mula dibuka.
Salah seorang penduduk, Jamal Shukri Razali, 44, berkata, kejadian tersebut mungkin merupakan fenomena kepala air yang berlaku berpunca daripada limpahan air Sungai Hulu Paka.
“Sebelum kejadian, hujan lebat berlaku dan dalam sekelip mata tiba-tiba limpahan air yang deras memenuhi kawasan Felda ini menyebabkan kami semua panik.
“Kami hanya fikir nak selamatkan nyawa anak-anak kecil dan warga emas. Kami tak pernah berdepan situasi seburuk ini. Mungkin kepala air yang turun sebab dalam masa kurang 15 minit, hampir semua kawasan rendah ditenggelami air,” katanya ketika ditenui di sini, pagi ini.
Jamal Shukri berkata, selain banyak rumah dan kenderaan ditenggelami air, kejadian itu turut memusnahkan harta benda penduduk dan pejabat Felda turut ditenggelami air.
Zaleha Hamid, 55, pula berkata, dia yang sedang menyiapkan kuih untuk minuman petang keluarganya terkejut apabila anaknya menjerit memberitahu kawasan luar rumahnya tiba-tiba dipenuhi air.
“Mak cik tak sempat buat apa-apa. Memang panik dan takut sungguh. Sekelip mata kawasan dapur rumah mak cik dimasuki air. Mak cik dan anak redah air banjir tersebut untuk selamatkan diri dengan sehelai sepinggang.
“Kami nak pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tak tahu kat mana PPS dibuka sebab semua ini berlaku secara tiba-tiba dan selama hampir 40 tahun mak cik duduk sini, memang tak pernah banjir sebel ini ,” katanya yang menumpang di kediaman saudaranya.
Seorang lagi penduduk, Kuntum Ali, 60, berkata, kejadian itu menyebabkan dia trauma dan bimbang kejadian sama akan berulang berikutan hujan lebat masih berlaku.
“Memang keadaan kampung kami sangat takut dan agak kelam kabut. Masing-masing mahu menyelamatkan diri tanpa fikir barang-barang lain.
“Walaupun air dah surut. Mak cik tetap bimbang kejadian ini berlaku lagi,” katanya.
Setakat pukul 6 pagi ini, seramai 235 penduduk daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Felda Kerteh 4 dan ada antara penduduk yang berpindah ke rumah saudara terdekat. – UTUSAN