Penduduk bimbang banjir kali keempat, penyewa 'angkat kaki'

Penduduk bimbang banjir kali keempat, penyewa ‘angkat kaki’

MD. JOHARI Dol menunjukkan aliran parit di Jalan Balau, Taman Desaru Utama di sini yang perlu diselenggara agar tidak berlaku limpahan air ke rumah penduduk. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Penduduk di Jalan Balau, Taman Desaru Utama di sini berharap mereka tidak akan menempuhi pengalaman banjir untuk kali keempat.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Balau, Md. Johari Dol mendakwa bah berlaku berikutan saluran parit di hadapan jalan tersebut tidak diselenggara dengan baik.

Meskipun diberitahu terdapat saluran parit baharu telah dibina, namun penduduk bimbang keberkesanannya.

“Sebelum ini sejak 2014 kami hidup tanpa banjir di sini. Antara punca banjir yang berlaku di sini sebanyak tiga kali sejak tahun 2021 adalah disebabkan pembetung parit yang kecil dibina di kawasan perumahan ini.

“Ditambah pula dengan peningkatan air di saluran parit ekoran pembukaan taman baharu serta hujan yang berterusan menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk.

“Kita dimaklumkan ada saliran baharu yang dibina namun penduduk bimbang ia tidak berfungsi dengan baik. Sekurang-kurangnya parit di kawasan Jalan Balau ini turut sama diselenggara, didalamkan agar air dapat bergerak dengan laju dan tidak menjadi punca banjir lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penduduk sudah letih dengan kejadian banjir yang berlaku, bahkan ramai antara penyewa taman perumahan itu yang ‘angkat kaki’ dan mencari rumah lain.

“Ada penduduk yang telah menyediakan tempat tinggi untuk menyimpan barang-barang di rumah. Mereka yang menyewa boleh pilih untuk pindah ke rumah lain tapi kami yang membeli rumah tidak boleh tinggalkan rumah kami.

“Sekarang telah berlaku banjir di negeri pantai timur biasanya akan diikuti Pahang kemudian Johor begitulah turutan setiap tahun. Kami di sini berharap tidak akan berlaku banjir keempat dan meminta agar tindakan segera dapat diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×