Pendakwaan akan panggil Jasmine Loo sebagai saksi kes 1MDB

Pendakwaan akan panggil Jasmine Loo sebagai saksi kes 1MDB

JASMINE LOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan memanggil bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberi keterangan pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan penyelewengan dana syarikat itu berjumlah RM2.28 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihaknya bercadang memanggil Jasmine ekoran keterangan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min pada prosiding lalu.

Wei Min dalam keterangannya pernah bersetuju bahawa keterangan wanita itu sama ada boleh menyelamatkan Najib atau menyebabkan bekas Perdana Menteri disabitkan dengan tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Menurut Ahmad Akram, Wei Min yang juga Ketua Pasukan Siasatan Khas Anti Pengubahan Wang Haram Bukit Aman ketika memberi keterangan telah mengemukakan pendapatnya berhubung status Jasmine dan maklumat itu telah membuka `jurang’  perbicaraan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) kemudian mencelah dengan menyatakan bahawa cadangan memanggil bekas peguam itu merupakan `satu perkara baharu’ sebelum menetapkan perbicaraan bersambung 2 Januari ini.

Sebelum ini, Wei Min dalam keterangannya pernah menyatakan Jasmine akan menjadi saksi penting yang boleh mendedahkan  isu berkaitan Tanore Finance Corporation, iaitu entiti yang didakwa memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank  Najib.

Pendakwaan mengemukakan keterangan bahawa Tanore dikawal oleh ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dalam keterangannya juga, Wei Min berkata Jasmine dan beberapa bekas pegawai 1MDB bertemu Jho Low dan beberapa  bekas pegawai 1MDB di China, lima tahun lalu.

Menurut Wei Min, perkara itu diberitahu kepadanya oleh Jasmine ketika menyoal siasat wanita itu pada Ogos dan September lalu.

Jasmine yang dianggap sebagai pembantu peribadi Jho Low juga dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.  Wanita itu  ditahan polis pada 7 Julai lalu selepas pulang ke tanah air.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah selesai mendengar keterangan saksi ke-47 pendakwaan, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan yang bertanggungjawab menyediakan laporan jejak aliran wang 1MDB.

Mahkamah sepatutnya mendengar keterangan saksi selanjutnya, Superintenden Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin namun saksi berkenaan masih bercuti sakit akibat Covid-19.

Pada prosiding itu, Muhammad Shafee kemudian memaklumkan, beliau perlu menyoal balas bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir selepas saksi-saksi SPRM selesai memberi keterangan.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya