Pemandu lori tidak mengaku simpan 24,000 liter diesel tanpa lesen

Pemandu lori tidak mengaku simpan 24,000 liter diesel tanpa lesen

G. Chandrakumar (kiri) bersama peguamnya, T. Sharmela ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa lesen borong sah di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa lesen borong sah, tahun lalu.

Tertuduh, G. Chandrakumar, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki diesel sebanyak 24,676 liter yang menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen yang sah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Pinang Emas 1, Kawasan Perusahaan Pinang Emas, di sini pada pukul 1.13 petang, 4 Oktober tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Roslina Idris, manakala tertuduh diwakili peguam T. Sharmela.

Roslina mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM50,000, bagaimanapun Sharmela memohon jaminan lebih rendah iaitu RM20,000 mengambil kira tertuduh perlu menanggung ibunya yang sakit jantung dan sudah tua.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis terdekat pada setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan 5 Februari depan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN