Pasang solusi liputan atasi kualiti perkhidmatan

Dewan Negara: Pasang solusi liputan atasi kualiti perkhidmatan kurang memuaskan

FAHMI Fadzil pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. -JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memerlukan kerjasama daripada pemilik bangunan dan badan pengurusan bersama untuk memberi kebenaran kepada syarikat telekomunikasi bagi pemasangan solusi liputan dalam bangunan. 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini setelah kerajaan mengakui masih ada kawasan menyaksikan kualiti perkhidmatan kurang memuaskan terutama bagi pengguna yang berada dalam bangunan. 

Bagaimanapun, katanya, liputan perkhidmatan 4G di kawasan berpenduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setakat suku ketiga 2023 adalah 100 peratus. 

“Kerajaan akui masih terdapat kawasan yang mana kualiti perkhidmatan kurang memuaskan terutama bagi pengguna di dalam bangunan. 

“Keadaan ini boleh disebabkan faktor seperti kesesakan rangkaian di sesuatu tempat di satu-satu masa dan penerimaan liputan yang kurang memuaskan kerana halangan seperti bangunan tinggi. 

“Bagaimanapun, bagi memastikan tahap perkhidmatan yang disediakan adalah mengikut standard yang ditetapkan, SKMM giat menjalankan ujian kualiti perkhidmatan di seluruh negara termasuk di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.  

Beliau menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj mengenai langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan aduan pengguna terhadap masalah rangkaian telefon bimbit yang kurang memuaskan di beberapa kawasan di Kuala Lumpur. 

Mengulas lanjut, kata Fahmi, setakat 30 September 2023, sebanyak 3,280 lokasi di seluruh negara dan 97 lokasi di Kuala Lumpur telah diaudit. 

“Hasil audit sedang dalam peringkat analisis dan proses pengeluaran notis di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Akta 588),” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN