Pakar patologi bukan `mastermind' bunuh Kevin Morais - Peguam

Pakar patologi bukan `mastermind’ bunuh Kevin Morais – Peguam

Peguam, M. Manoharan (kiri) dan peguam, Burhanudeen Abdul Wahid berbual selepas tamat prosiding pendengaran rayuan enam lelaki yang didapati bersalah membunuh Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. FOTO OLEH FAIZ ALIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pakar Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) Dr. R. Kunaseegaran tidak boleh dikatakan dalang dalam pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Anthony Kevin Morais, lapan tahun lalu.

Menurut peguam, Datuk N. Sivananthan, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Kunaseegaran mempunyai niat bersama lima individu lain untuk membunuh mangsa.

“Pihak pendakwaan dalam kes mereka menyatakan bahawa Kunaseegaran adalah individu yang merancang pembunuhan tersebut dan dalang yang mengarahkan bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandran (tertuduh ketujuh).

“Bagaimanapun, sekiranya benar Kunaseegaraan adalah dalang maka tidak perlulah untuk S. Nimalan (tertuduh keenam) dan Ravi Chandaran untuk menelefon saksi pendakwaan ke-54 berulang kali dan mengarahkannya untuk tutup mulut sedangkan saksi itu ada bersama Kunaseegaran.

“Selain itu, ketika perbicaraan, Kunaseegaran dan Ravi Chandaran sendiri menyatakan bahawa mereka berdua sudah lama tidak bercakap antara satu sama lain (akibat perselisihan faham) dan fakta ini tidak pernah dicabar oleh pendakwaan. Atas alasan ini (tidak bercakap antara satu sama lain), adalah tidak logik Kunaseegaran dan Ravi Chandaran merancang untuk melakukan pembunuhan bersama,”kata peguam itu.

Saksi pendakwaan ke-54,  G. Gunasekaran pada mulanya merupakan tertuduh kedua dalam kes bunuh tersebut namun pada hari ke-36 perbicaraan, lelaki tersebut telah mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin.

Sehubungan itu, dia dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Kevin dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas tuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta mangsa.

Seorang lagi peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Nimalan menyatakan, tidak bukti yang menunjukkan bahawa anak guamnya itu terlibat dalam pembunuhan tersebut.

“Tindakan tertuduh keenam (Nimalan) menunjukkan keberadaan tong dram yang telah dibuang ke dalam paya hanya membuktikan dia hanya tahu mengenai tong dram itu sahaja dan tidak boleh dikatakan bahawa dia tahu bahawa tong dram itu berisi mayat Kevin.

“Malah dalam perbicaraan ketika disoal semula oleh pendakwaan, Nimalan telah membetulkan kenyataannya bahawa lokasi yang ditunjukkan adalah merujuk kepada tong dram dan bukannya mayat Kevin,”kata peguam itu.

Selain Kunaseegaran. Ravi Chandaran dan Nimalan, turut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan mereka dengan pertuduhan membunuh Kevin ialah R. Dinishwaran, A. Thinesh Kumar dan M. Vishwanath. Kesemua mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, peguam, M. Manoharan yang mewakili Dinishwaran (tertuduh ketiga) menyatakan, tiada sebarang bukti langsung (direct evidence) yang menunjukkan terlibat dengan pembunuhan tersebut.

“Siapa yang bunuh Kevin Morais? Yang pastinya bukan tertuduh ketiga,”kata peguam itu.

Turut menggunakan alasan sama (tiada bukti langsung) ialah peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Thinesh Kumar.

Ujarnya tiada sebarang bukti langsung (anak guamnya terlibat dengan pembunuh), tiada motif atau tiada bukti menunjukkan Thinesh Kumar mengenali Kunaseegaran.

Mendiang Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015 selepas keluar dari kediamannya di Menara Duta untuk ke tempat kerja di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Kereta tersebut ditemukan terbakar di sebuah ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak pada keesokan harinya. Mayat mendiang ditemukan ditemui dalam keadaan terikat dengan guni dan disimen di dalam tong dram.

Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept tahun lepas.

Rayuan yang didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin bersambung 7 Disember ini. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN