Orang ramai disaran amal langkah pencegahan Covid-19 - Utusan Malaysia

Orang ramai disaran amal langkah pencegahan Covid-19

DANIEL GOOI ZI SEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Orang ramai dinasihatkan mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 seperti mana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan susulan peningkatan kes positif Covid-19 ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi berkata, setakat kelmarin terdapat 835 kes aktif Covid-19 direkodkan di Pulau Pinang dengan 826 individu menjalani kuarantin di rumah.

“Daripada keseluruhan kes terdapat sembilan individu menjalani rawatan di hospital, namun tiada pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau perlu mendapatkan bantuan pernafasan.

“Bagi kes-kes yang dilaporkan, majoriti kes iaitu sebanyak 98 peratus merupakan kes yang bergejala rendah dan tidak membawa kesan yang parah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan negara melaporkan peningkatan 3,626 kes Covid-19 atau 57.3 peratus dalam tempoh seminggu dari 19 November hingga 25 November lalu berbanding 2,305 kes yang dilaporkan pada 12 November hingga 18 November lalu.

Dr Muhammad Radzi menambah, sebanyak empat varian Omicron baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 sebanyak 28,102 kes.

Menurut Daniel, antara langkah-langkah pencegahan yang disarankan untuk dilaksanakan oleh orang awam ialah kerap mencuci tangan dengan sabun atau pensanitasi dan memakai pelitup muka terutama bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak.

“Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung juga digalakkan memakai pelitup muka.

“Orang ramai juga perlu mengamalkan TRIIS (Uji, Laporan, Asingkan, Maklumkan dan Dapatkan Bantuan) sekiranya bergejala dan mendapatkan dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan situasi terkini, peningkatan kes positif Covid-19 adalah gejala secara keseluruhan di peringkat global dan di Malaysia.

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan negeri untuk memastikan pemantauan dilakukan ke atas trend kes positif Covid-19 khususnya bagi Pulau Pinang.

”Pemantauan juga dilakukan ke atas lokasi-lokasi berisiko tinggi seperti rumah warga emas, asrama, penjara, pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen), depot imigresen dan fasiliti-fasiliti lain bagi mengelakkan berlakunya kluster Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya