PETALING JAYA: Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) yang diserah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjadi mesej jelas kepada dunia tentang komitmen Malaysia melindungi perairannya daripada ancaman pencerobohan asing khususnya di perairan Sarawak.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya, Dr. Danial Azman berkata, perolehan kapal itu membuktikan Malaysia tidak sesekali berkompromi tentang isu kedaulatan negara apabila kapal pengawal pantai dari negara lain sering memasuki perairan maritim negara.
“OPV1 bukan sekadar sebuah kapal, ia juga adalah lambang kekuatan, ketahanan dan kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan.
“Sudah tiba masanya Malaysia senada dengan negara ASEAN yang lain dalam menjaga keselamatan perairan di wilayah pertindihan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 30 November lalu, OPV1 antara kelompok 15 kapal maritim milik APMM yang menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
OPV1 dilaporkan diserah kepada APMM pada 14 Disember lalu selepas tiga kali penyerahannya ditangguh. Majlis penyerahan berlangsung di Limbungan Kapal THHE Fabricators Sdn Bhd, Taman Perindustrian Pulau Indah, Klang, Selangor.
Penyerahan OPV1 ditangguhkan tiga kali dengan penangguhan terbaru pada 27 November lalu.
Penyerahan itu sepatutnya dilaksana pada Mac lalu, namun, gagal berbuat demikian disebabkan kelewatan menerima peralatan utama yang ditempah dari luar negara.
OPV1 bernombor 8305 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.
Ia juga dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan. – UTUSAN










