IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak menyifatkan dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang akan berpaling tadah adalah provokasi yang sengaja dilakukan untuk mencipta sensasi politik.
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, sekali gus menafikan dakwaan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berhubung perkara tersebut.
Sehubungan itu, PN Perak mencabar wakil rakyat dari PKR itu mendedahkan nama ADUN PN yang mahu belot itu atau akan dianggap sekadar bermimpi di siang hari.
“PN Perak melihat tindakan ADUN Hulu Kinta itu lebih kepada terdesak dan cuba mengalihkan perhatian rakyat kepada perbahasan bajet, malah tindakan politik murahan seperti itu sering berlaku di setiap kali Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
“Kita jangan lupa tindakan beliau sebelum ini yang membawa seekor ayam ketika Sidang DUN dahulu hanya untuk meraih perhatian netizen, itu memang sikap beliau agar beliau ‘tidak dilupakan’,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Muhamad Arafat mendakwa sekurang-kurangnya dua ADUN PN berhasrat untuk menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan Perak namun enggan mendedahkan nama mereka.
Beliau dilaporkan berkata mereka memaklumkan hasrat tersebut kerana yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Zainol Fadzi, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan bertanya kesemua ADUN PN Perak berhubung dakwaan beliau itu yang disifatkan sebagai provokasi murahan dan ketinggalan zaman.
“Beliau juga perlu sedar semua ADUN PN Perak dalam perbahasan semalam dan hari ini menyokong Bajet 2024 yang dibentangkan dan bukannya ‘tiga orang’ seperti yang didakwanya,” ujar beliau. – UTUSAN