'Monopoli’ warga asing punca penduduk tempatan takut berkunjung

‘Monopoli’ warga asing punca penduduk tempatan takut berkunjung

SUASANA di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur yang lengang susulan serbuan polis. - MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebanjiran warga asing di Jalan Silang di sini antara faktor utama rakyat tempatan enggan mengunjungi premis-premis berhampiran lokasi terbabit.

Peniaga tempatan, Anuar Shari, 69, berkata, kawasan tersebut yang sememangnya menjadi tumpuan warga asing kebanyakannya Bangladesh dan Nepal menyebabkan warga tempatan tidak selesa serta berasa tidak ‘selamat’ di jalan terbabit.

“Mereka (warga asing) ini anggap sini (Jalan Silang) macam tempat mereka, kurang ajar dan tak hormat orang tempatan.

“Bila ramai sangat warga asing di sini, orang tempatan pun tidak mahu datang. Boleh dikira orang tempatan yang datang, saya jual air pun memang jarang orang tempatan beli,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Warga emas yang berasal dari Ipoh, Perak itu, berkata, dia sudah kira-kira 10 tahun berniaga minuman dan makanan di sekitar kawasan ini.

“Saya sangat-sangat sokong tindakan pihak berkuasa (polis) serbu di sini. Kalau boleh, ada tindakan seterusnya, setiap bulan pun tidak apa,” katanya.

Berkongsi kisah lain, Md. Khairul Othman, 40, berkata, ada beberapa warga asing yang dikatakan bertindak kurang ajar dan bergaduh.

“Mereka ini (warga asing) ada juga yang berniaga, datang jalan-jalan dan beli barang. Sini ramai Bangladesh, Myanmar. Pernah ada nampak mereka ini bergaduh, bersikap biadap,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar Jalan Silang, Jalan Pudu dan Lebuh Ampang mendapati suasana lengang susulan serbuan polis kelmarin.

Sementara itu, peniaga pakaian, Amir Ahmad, 58 berkata, kebanyakan warga Bangladesh yang menjalankan perniagaan di situ telah menyewa premis dengan pemilik tempatan.

“Ramai Bangladesh di sini, sehingga lekatlah nama ‘mini Dhaka’. Mereka banyak berkumpul di sini.

“Ada yang berniaga di sini, menetap dan menyewa. Harap warga tempatan yang menyewakan premis tidak lagi berbuat perkara itu, kalau tidak, ia tidak boleh selesaikan masalah,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan bermula pada 11 pagi.

Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya turut diserbu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan tentang kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing.

Operasi bertujuan membanteras pelbagai jenayah terutama membabitkan PATI selain turut memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan ini.

Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, wujud pergerakan mencurigakan melibatkan warga asing di Jalan Silang, dipercayai membuat pemantauan bagi mengesan sebarang kehadiran pihak berkuasa di lokasi terbabit.

Tinjauan selepas operasi besar-besaran polis itu mendapati, kumpulan warga asing yang dilihat mencurigakan dipercayai tonto tersebut seakan memerhati, menghubungi dan mengambil gambar penugasan wartawan di lokasi kejadian.

Peniaga tempatan yang enggan dikenali berkata, kebanyakan individu berkenaan berkeliaran di luar premis sejak pagi.

“Kita berniaga hari-hari di sini, tak pernah nampak mereka. Ini baru nampak selain kehadiran wartawan yang ramai.

“Mula-mula ingat wartawan tapi mereka bercakap dalam bahasa asing dan sering ambil gambar kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, seorang anggota penguat kuasa yang ditemui sekitar lokasi terbabit berkata, tindakan operasi dijalankan kelmarin memberi impak positif apabila kawasan tersebut dilihat lengang daripada kehadiran warga asing.

Katanya, jika sebelum ini ada antara warga asing melakukan kekacauan selain tidak menghormati penguat kuasa yang menjalankan tugas.

“Mereka (warga asing) ini ada tonto dari geng-geng mereka sendiri, malah tak hormat kepada penguat kuasa yang menjalankan tugas. Ada yang marah balik, tunjuk gangster dan hendak ajak bergaduh.

“Kalau dilihat sebelum ini, warga asing ini ada berniaga ikan, buah dan lain-lain. Kebiasaan aktif hujung minggu dan harap operasi sebegini dikerapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN