SEPANG: Isu dokumentasi perjalanan menyaksikan hanya tiga mangsa jenayah sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar yang berjaya dibawa balik ke tanah air malam tadi berbanding 11 orang.
Aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Syafiq Sazali yang mengiringi kepulangan mangsa berkenaan berkata, baki lima mangsa akan balik esok (hari ini) manakala tiga dari Laos dijangka minggu depan.
Beliau berkata, mangsa dari Myanmar masing-masing terdiri daripada dua orang yang diselamatkan terus dari Tachilek dan enam lagi dari Myawaddy.
“Lokasi ini selamat tanpa pertempuran kerana bersempadan dengan Thailand manakala yang berlaku perang sengit pada ketika ini di Laukkaing bersebelahan China,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangkok, Thailand.
Beliau difahamkan sebahagian besar mangsa jenayah pemerdagangan manusia di zon utara Myanmar itu dilepaskan secara sukarela oleh kumpulan sindiket susulan operasi dilancarkan pihak tentera Beijing ke atas samseng itu bagi menyelamatkan ratusan warga China yang menjadi mangsa kes penipuan terbabit.
Pertempuran besar meletus awal bulan lalu itu setelah pemerintah China melancarkan operasi besar-besaran ekoran kes kematian empat perisikannya yang ditanam hidup-hidup.
Mereka dibunuh kejam selepas cuba membawa pulang sekumpulan 70 rakyat negara itu yang menjadi mangsa di Myanmar namun kesemuanya maut ditembak.
Menyentuh suasana semasa di Myanmar, Azirul Syafiq berkata, siasatan MHO mendapati semua kumpulan penjenayah penipuan itu akan berpindah ke Laos dalam masa terdekat.
Bahkan sebuah zon ekonomi khas yang terletak di lokasi dikenali Segitiga Emas di negara itu mula dijadikan hab operasi sindiket tersebut kerana selamat daripada pihak berkuasa. – UTUSAN