Menteri Ekonomi bukan 'Santa Klaus' - Rafizi

Menteri Ekonomi bukan ‘Santa Klaus’ – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan tanggungjawab beliau sebagai salah seorang anggota kabinet bukan untuk menjadi ‘Santa Klaus’ yang membawa hadiah percuma kepada rakyat.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata, amanah yang digalasnya adalah membetulkan struktur ekonomi negara sudah menyimpang dari landasan pertumbuhan mampan akibat amalan-amalan ekonomi yang tidak lagi dapat ditampung negara.

“Beberapa minggu lalu, kecoh isu rombakan Jemaah Menteri. Saya tahu satu harapan penyokong pembangkang yang menggunung ialah melihat orang lain menjadi Menteri Ekonomi, supaya mereka dapat canangkan kegagalan reformasi ekonomi negara.

“Inilah isu yang dimainkan sejak setahun lalu, konon ekonomi telah tenat dan merudum. Dalam beberapa bulan pertama, mereka memainkan isu ‘tak ada apa-apa’ untuk membayangkan ‘menteri dan kerajaan tidak buat apa-apa’.

“Menjelang Mei 2023, tempias ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat mempengaruhi nilai ringgit yang jatuh akibat perbezaan kadar faedah. Itu menguatkan lagi serangan pembangkang kononnya ekonomi merudum,” katanya dalam satu ciapan di aplikasi X.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, apa yang dilaluinya ketika ini merupakan lumrah sebagai seorang Menteri Ekonomi, beliau walau bagaimanapun tetap mengalu-alukan pandangan namun mesti bersandarkan penilaian menyeluruh dan bukan diambil ‘sekerat-kerat’.

Jelasnya, pandangan tersebut mesti mengambil kira perspektif kedudukan ekonomi yang diambil alih Kerajaan Perpaduan pada tahun lalu.

“Rakyat terbiasa dengan amalan pengumuman projek atau buah tangan sebagai bukti ada perancangan ekonomi di pihak kerajaan. Ada yang suka bertepuk tangan menyebut projek-projek mega berpuluh bilion yang pernah diusahakan pentadbiran lalu tanpa mengira beban hutang yang mereka tanggung dan kini terpaksa ditangani kerajaan.

“Ada juga yang rindukan zaman duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka dikeluarkan untuk berbelanja – senang sekejap tetapi susah untuk tempoh yang lama, disamping mendorong kenaikan harga barang apabila sejumlah wang disuntik ke dalam ekonomi dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Sementara itu, Rafizi turut menyenaraikan beberapa amalan yang didakwanya gagal ditangani oleh pentadbiran-pentadbiran terdahulu iaitu antaranya amalan subsidi pukal diberikan kepada semua tanpa mengira kaya atau miskin, pelawat asing, pelancong dan pekerja asing.

“(Amalan kedua adalah) berhutang dan menggagau apa-apa tabung yang ada asalkan kerajaan pada ketika itu boleh dilambung seperti Santa Klaus. Defisit yang berterusan tinggi, dividen dari PETRONAS yang diambil tinggi setiap tahun, membelanjakan tabung amanah rakyat tanpa ada rancangan untuk mengurangkan hutang negara.

“Ketiga, pergantungan kepada pekerja asing yang telah mencecah 2.5 juta orang yang didokumenkan, tidak didokumen lebih tinggi. (Ini) menyempitkan ruang pekerjaan kepada warganegara. Kesannya bukan sahaja kepada peluang pekerjaan, tetapi juga aliran mata wang keluar apabila gaji mereka dihantar pulang setiap bulan,” jelasnya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, amalan lain termasuk dengan pertumbuhan gaji pekerja tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup sehingga mendedahkan masyarakat kepada risiko terutama apabila terjadinya gangguan bekalan.

“Saya tahu saya akan terus menjadi sasaran serangan pembangkang kerana ia perkara yang termudah untuk mereka.

“Saya juga tahu tanggungjawab saya untuk terus memberi pencerahan supaya saya sendiri dapat meyakinkan rakan saya dalam Jemaah Menteri untuk tidak mengambil jalan pintas seperti pentadbiran-pentadbiran lalu dan lari dari menyelesaikan masalah-masalah pokok begini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya