Menang Kemaman, Pas sedia pikul tanggungjawab di Pusat 

Menang Kemaman, Pas sedia pikul tanggungjawab di Pusat 

PAS mempertahan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar, iaitu 37,220 undi. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas sedia memikul tanggungjawab lebih besar di peringkat Pusat jika perlu selepas mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan majoriti lebih besar, semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti lebih besar mengesahkan peningkatan momentum sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam siri PRK yang diadakan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Kata beliau, ia termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Pelangai.

Katanya,majoriti sebanyak 37,220 undi yang mewakili sokongan 70 peratus pengundi di Parlimen Kemaman itu bukan setakat membuktikan penerimaan terhadap kedudukan Ahmad Samsuri  sebagai Menteri Besar Terengganu. 

“Ia juga adalah referendum penolakan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang diketuainya. Adalah jelas bahawa Kerajaan Pusat terus gagal mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat hatta selepas satu tahun berkuasa.

“Dalam konteks PRK Kemaman ini, undi yang diperole  oleh calon PH-BN sebanyak 27,778 yang mewakili tahap sokongan 30 peratus adalah jauh lebih rendah berbanding undi yang didapati oleh kedua-dua PH dan BN dalam PRU15 lepas, iaitu masing-masing sebanyak 8,340 dan 38,535 undi yang mewakili sokongan 41 peratus. 

“Dengan kata lain, gabungan PH-BN bukan sahaja gagal meraih sokongan baharu, tetapi terus kehilangan sokongan yang pernah dinikmatinya sebelum ini berdasarkan penurunan ketara yang dicatatkan di Kemaman,” katanya dalam satu kenyataan. 

Pas mempertahan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar, iaitu 37,220 undi. 

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi. 

Majoriti yang diperoleh Menteri Besar itu lebih tinggi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu, Che Alias Abd. Hamid (27,179 undi) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas. 

Takiyuddin berkata, selain faktor kecelaruan pentadbiran, Pas percaya keputusan PRK Kemaman kali ini adalah penolakan pengundi terhadap ‘politik dana peruntukan’. 

Katanya, ia termasuk helah tidak bermaruah Putrajaya menggunakannya untuk memaksa dan membuli ahli Parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk dan menyokong mereka. 

“Pas kekal komited kepada politik matang, bermaruah dan demokratik bukan sahaja dalam peranannya sebagai blok pembangkang di Parlimen, tetapi juga sebagai kerajaan di negeri-negeri yang ditadbirnya atas kepercayaan bahawa ia adalah pendekatan terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat.

“Dalam pada itu, Pas juga bersedia memikul tanggungjawab lebih besar di peringkat nasional apabila keadaan menghendaki sedemikian susulan kegagalan berterusan Putrajaya untuk memastikan rakyat dan negara terlindung daripada kesan negatif tindak-tanduk kerajaan sendiri mahupun perkembangan yang berlaku di dunia luas,” katanya. 

Terdahulu, Pas mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah dan jutaan terima kasih kepada para pengundi atas kemenangan lebih besar Ahmad Samsuri di Kemaman. 

“Terima kasih juga diucapkan kepada petugas dan penyokong parti, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan dan agensi-agensi terbabit dalam menjayakan PRK tersebut serta memastikan ia berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN