MB Perak sebak kongsi masalah rakyat - Utusan Malaysia

MB Perak sebak kongsi masalah rakyat

SAARANI Mohamad mengesat air mata kerana sebak ketika berkongsi pengalaman mengenai permasalahan rakyat pada pembentangan Belanjawan Perak 2024 hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebak dan kelihatan berlinang air mata ketika bercakap tentang kesusahan rakyat, sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 negeri Perak hari ini.

Situasi itu berlaku ketika beliau berkongsi pengalamannya mendengar permasalahan rakyat semasa menyertai pelbagai program turun padang.

“Sepanjang program turun padang berdampingan dengan rakyat termasuk ketika Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, banyak kisah-kisah suka duka rakyat yang menyentuh emosi.

“Jerih perih dan resah gelisah rakyat menempuh kehidupan yang kian mencabar mengetuk hati saya dan rakan-rakan dalam pentadbiran kerajaan untuk terus berikhtiar mencari jalan bagi meringankan beban hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam keadaan sebak dan kemudian mengesat air matanya.

Katanya, melalui Belanjawan 2024, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM384.1 juta untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif kesejahteraan rakyat yang fokus kepada mengupayakan sara diri, membangunkan potensi dan kapasiti rakyat bagi mengharungi cabaran hidup.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara agensi berperanan penting dalam aspek kesejahteraan masyarakat diperuntukan RM42.8 juta di bawah maksud mengurus yang meliputi RM33.6 juta Bantuan Am.

“Memahami ketidaktentuan iklim ekonomi yang menekan kehidupan rakyat marhaen lantaran peningkatan kos sara hidup, sukacita saya mengumumkan, kadar semasa bantuan RM300 sebulan yang telah memberi manfaat kepada 6,600 penerima sehingga Oktober 2023 akan dinaikkan kepada RM400 sebulan iaitu kenaikan RM100 mulai Januari 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN