KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang menunggu keputusan analisis sampel makanan berkaitan dakwaan tular punca wanita berusia 54 tahun keracunan hingga meninggal dunia Selasa lalu.
Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman telah menerima notifikasi kes keracunan makanan itu pada Khamis lalu dan terus bertindak menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa sampel makanan daripada peniaga terlibat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman, pada hari sama.
“Beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil bagi membantu siasatan dan pihak jabatan masih menunggu keputusan ujian makmal terhadap sampel-sampel ini,” katanya.
Beliau berkata, notifikasi berhubung kejadian menimpa wanita itu telah diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus, pada Selasa lalu dan siasatan telah dijalankan pada hari yang sama terhadap premis terbabit.
“PKD Kemaman menerima satu notifikasi kes keracunan makanan melibatkan seorang wanita berusia 54 tahun yang telah mengalami gejala keracunan makanan akibat memakan makanan yang telah dibeli di R&R berkenaan.
“Kes (wanita itu) mula mengalami gejala sakit perut, cirit birit dan muntah selepas memakan makanan yang dipercayai telah basi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati ada beberapa kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan arahan pembetulan telah diberikan pada pemilik premis dan juga pengendali makanan di premis terbabit.
“Pihak jabatan memandang serius tentang kes keracunan makanan dan menasihati pengendali makanan supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual serta memastikan makanan disediakan bersih serta selamat bagi mengelak kes keracunan makanan.
“Orang ramai perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih dan mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi,” katanya.
Terdahulu, seorang wanita yang dipercayai keracunan makanan setelah menikmati makanan yang dibeli di sebuah R&R di negeri ini dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Perkara tersebut tular dalam media sosial setelah dikongsi seorang individu di dalam grup media sosial Facebook Pengguna LPT (Lebuhraya Pantai Timur) empat hari lalu.
Individu tersebut memaklumkan ibu saudaranya itu datang dari Johor ke Terengganu untuk proses pendaftaran anak saudaranya ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Nerus.
“Datang dari Johor ke Terengganu untuk pendaftaran anak buah ke UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin). Singgah makan di R&R, makan sandwich dibeli di R&R tersebut. Basi rupanya.
“Kena keracunan makanan, dua mangsa. Mak cik (ibu saudara) dan anak buah. Tapi mak cik yang teruk. Kritikal muntah dan berak nonstop (tak berhenti). Masuk air, ‘collaps’.
“Masuk ICU Sultanah Zahirah (HSNZ) dan meninggal malam tadi. Alhamdulillah dipermudah urusan bawa balik jenazah ke JB (Johor Bahru) dan selamat dikebumikan,” tulisnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang bimbang dengan keselamatan makanan yang dijual, apatah lagi jumlah pengguna LPT meningkat ketika ini disebabkan musim cuti perayaan Hari Krismas.
Wanita tersebut berkata, tujuannya berkongsi perkara itu di media sosial adalah sebagai langkah berwaspada kepada pengguna yang lain. – UTUSAN










