PETALING JAYA: Perasaan malu dan tabu dalam kalangan rakyat di negara ini antara punca masalah mati pucuk (ED) sukar dirawat.
Pakar rawatan lelaki yang juga pengasas Idealyst, Dr Aidil Azry Mokhtar berkata, rata-rata penghidap penyakit berkenaan lebih cenderung menggunakan platform sosial media bagi membincangkan dan berkongsi masalah berkenaan selain menggunakan rawatan alternatif.
Justeru beliau berkata, ED antara punca utama kes penceraian meningkat dalam kalangan masyarakat pada zaman ini.
“Pesakit yang datang sudah berada dalam fasa perceraian dan berdepan dengan tekanan dalam masalah perhubungan.
“Mereka tidak berani dan tidak terbuka untuk berkongsi masalah bersama pasangan yang akhinrya memberi kesan kepada hubungan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Dr. Aidil Azry Mokhtar, setiap pesakit ED perlu mendapatkan rawatan daripada pakar berdasarkan beberapa kaedah bersesuaian dengan pesakit.
“Ada beberapa kaedah dalam perubatan moden antaranya rawatan P-Shot yang merupakan ekstrak plasma darah dengan panggilan PRP. Ia bertujuan untuk memperbaiki saluran darah dan tisu yang rosak.
“Sleepas itu secara perlahan-lahan saluran darah akan kembali pulih dan alat kelamin akan mula berfungsi dalam 50 peratus. Jika berterusan dapatkan rawatan P-Shot, Insya-Allah ia akan kembali pulih 100 peratus,” jelasnya.
Selain itu kata Dr. Aidil Azry, terdapat kaedah yang dikenali sebagai Exosome iaitu penggunaan protein daripada stem sel dan kekuatannya jauh lebih tinggi daripada teknologi PRP. -UTUSAN










