PETALING JAYA: Malaysia amat komited dan menghargai kerjasama strategik dengan China terutamanya pelaburan dan sokongan kemahiran pembangunan infrastruktur daripada syarikat-syarikat negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyatakan komitmen tersebut ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, OuYang Yujing dan delagasi China Communications Construction Company (CCCC) yang diketuai Pengerusinya, Wang Tongzhou.
“Dalam perjumpaan ini, saya tekankan semula pendirian bahawa Malaysia amat komited dan menghargai kerjasama strategik dengan negara China terutamanya pelaburan dan sokongan kemahiran pembangunan infrastruktur daripada syarikat-syarikat China,” katanya dalam Facebook beliau.
Ia adalah susulan daripada pertemuan Anwar dengan Wang Tongzhou yang berlangsung di Nanning, China pada September lalu.
CCCC merupakan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurut Anwar, beliau menegaskan bahawa semua pihak terlibat dalam ECRL termasuk kerajaan-kerajaan negeri perlu berganding bahu bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.
Katanya, dalam pertemuan itu, Wang Tongzhou telah berkongsi pengalaman dan kemaskini semasa projek ECRL.
“Selain itu, kami turut saling bertukar pandangan mengenai ekosistem pembangunan projek-projek mega terutamanya berkaitan infrastruktur pengangkutan dalam dan antara bandar,” katanya. – UTUSAN