MAIDAM salur bantuan RM3.5 juta kepada mangsa banjir - Utusan Malaysia

MAIDAM salur bantuan RM3.5 juta kepada mangsa banjir

SHAIKH Harun Shaikh Ismail (dua dari kiri) menyampaikan bantuan sumbangan banjir sebanyak RM3.5 juta daripada MAIDAM kepada Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini menyalurkan bantuan sebanyak RM3.5 juta kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, daripada jumlah itu, MAIDAM menyalurkan bantuan tersebut menerusi peruntukan zakat Sinf Al-Gharimin sebanyak RM2.655 juta.

Menurutnya, baki RM845,000 pula adalah wang sumbangan daripada empat agensi iaitu Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Penerima bantuan ini adalah mangsa banjir rakyat negeri Terengganu yang menetap di negeri Terengganu atau pemastautin tetap di negeri Terengganu tidak kurang dari tiga tahun berturut-turut.

“Mangsa banjir yang beragama Islam, baligh dan berakal atau walinya akan menerima bantuan tersebut bagi pihak mangsa yang tidak mukalaf,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar bantuan setiap penerima tertakluk kepada kesesuaian yang ditetapkan oleh agensi yang menguruskan mangsa banjir.

“MAIDAM tiada kakitangan yang mencukupi untuk mengagihkan bantuan ini, jadi terpulanglah kepada pegawai-pegawai daerah untuk agihkan kepada mangsa mengikut keperluan dengan lebih cekap dan efisyen.

“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan mangsa banjir yang terjejas untuk meneruskan kehidupan mereka seperti biasa,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya