Penakluk Everest, kongsi pengalaman sebagai pengetua

Magendran penakluk Everest, kongsi pengalaman sebagai pengetua

M. Magendran (tengah) bersalaman dengan warga guru dan murid SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada majlis persaraannya semalam. – Utusan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menguruskan sekolah ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 dan bah besar tahun 2021 merupakan cabaran terbesar yang dihadapi pengetua Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Datuk M. Magen­dran sepanjang lebih 34 tahun perkhid­matannya dalam dunia pendidikan.

Kata Magendran, 60, beliau bersama kesemua guru serta kakitangan sekolah sepenuh jiwa raga memastikan sesi Pe­ngajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan dapat diikuti oleh semua murid sekolahnya.

“Ada di antara murid di sini yang keluarganya tidak dapat mengikuti PdPR secara sepenuhnya disebabkan liputan internet yang kurang baik.

“Jadi yang mana tidak dapat ikuti PdPR di rumah, kita benarkan mereka hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya pada majlis persaraannya di SMK Taman Sri Muda, di sini, semalam.

Dalam tempoh sesi pembelajaran itu dilaksanakan, bencana bah banjir yang berlaku Disember 2021 di Taman Sri Muda menyulitkan lagi keadaan sekolah, yang mana pada ketika itu, semua bilik kelas di tingkat satu sekolah ditenggelami air.

Kata Magendran, banjir yang berlaku selama seminggu itu menyebabkan sesi persekolahan di sekolah terpaksa diberhentikan selama beberapa hari bagi kerja-kerja mencuci bilik kelas yang dinaiki lumpur, kesan daripada banjir.

“Selain itu, beberapa peralatan sekolah seperti kerusi, meja, komputer dan lain-lain me­ngalami kerosakan. Oleh sebab itu, selain mendapat bantuan daripada Kementerian Pendidikan kami turut memohon bantuan daripada pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam untuk memberikan sumbangan kepada sekolah supaya pihak sekolah dapat membeli peralatan baharu.

“Syukur ramai pihak yang tampil bantu sekolah sehingga kami berjaya membaiki serta membeli peralatan baharu bagi kegunaan murid dan guru,” ujarnya yang telah berkhidmat di SMK Taman Sri Muda sejak Oktober 2020.

Ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, Magendran yang juga rakyat Malaysia pertama yang berjaya menawan gunung tertinggi dunia, Gunung Everest berkata, untuk tempoh dua minggu pertama selepas bersara, beliau hanya mahu berehat serta meluangkan masa dengan ahli keluarganya sahaja sambil menyelesaikan beberapa urusan keluarganya.

Selepas tempoh tersebut, Magendran merancang melancong ke luar negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN