Lima individu direkod keterangan bantu kes ugutan rogol pelajar - Utusan Malaysia

Lima individu direkod keterangan bantu kes ugutan rogol pelajar

Pelajar rogol
PELAJAR tingkatan dua sebuah sekolah di Shah Alam mendakwa diugut rogol oleh rakan sebayanya. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis merekodkan keterangan lima individu bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang menerima ugutan rogol dan dipukul pelajar lelaki di sekolah sama, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semua individu itu antaranya melibatkan suspek, pengadu dan saksi-saksi lain.

“Setakat ini, polis telah membuat beberapa rakaman percakapan termasuk percakapan pengadu dan bapanya.

“Rakaman percakapan guru-guru dan saksi bebas lain akan dibuat segera kerana kebanyakkan mereka pulang ke kampung susulan cuti persekolahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut sedang menganalisa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“CCTV di lokasi berkenaan telah diperoleh dan sedang dianalisa lanjut. Permohonan laporan perubatan juga dibuat dan diperoleh pada kadar segera,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini mendakwa menerima ugutan rogol daripada rakan sebayanya yang tidak dapat menerima ditegur kerana dilihat menghala pandangan ke bahagian bawah tubuh badannya.

Malah, bapa mangsa dalam satu hantaran tular menerusi Facebooknya mendedahkan anak perempuannya itu dipukul pada bahagian dada dan direntap tudungnya sehingga menampakkan bahagian leher.

Menurutnya, laporan polis dibuat selepas tidak berpuas hati dengan reaksi diterima daripada guru-guru sekolah berhubung kejadian tersebut yang memberi alasan pelajar lelaki terbabit menghidap autisme.

Mohd. Iqbal dalam kenyataan awalnya memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa, kira-kira pukul 2.02 petang, Jumaat lalu.

“Mangsa yang merupakan pelajar perempuan tingkatan dua diugut rogol dan dipukul pada dada oleh seorang pelajar lelaki dikenalinya daripada sekolah sama dan juga sebayanya.

“Pengadu kemudian telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi kecederaan yang dialaminya,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya