Lelaki sebabkan kematian Syed Danial dipenjara 16 tahun - Utusan Malaysia

Lelaki sebabkan kematian Syed Danial dipenjara 16 tahun

Syed Danial
YEW Wei Liang dikenakan hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam satu insiden kemalangan jalan raya, dia hadir diiringi anggota polis di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Yew Wei Liang yang disabitkan bersalah sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi, dihukum penjara 16 tahun atas pertuduhan menyebabkan kematian kepada Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada empat tahun lalu.

Bekas pekerja teknologi maklumat (IT) berusia 41 tahun itu dijatuhkan hukuman demikian oleh Hakim Julia Ibrahim yang memerintahkan tertuduh menjalaninya bermula tarikh ditangkap pada 10 Ogos 2019.

Hukuman tersebut dijatuhkan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) yang  memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda.

Kelmarin, Wee Liang disabitkan bersalah di bawah Seksyen 304 (a) KK selepas pertuduhannya ditukar daripada pendakwaan asal di bawah Seksyen 302 KK.

Mengikut pertuduhan asal, Wei Liang didakwa membunuh pegawai bank, Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara – Selatan sekitar pukul 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos 2019.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Julia dalam penghakimannya hari ini berkata, kejadian berlaku antara dua pihak terbabit yang didorong rasa marah serta tidak puas hati dan turut disumbangan penggunaan bahan tidak terlarang hanya mengundang akibat buruk.

“Saya harap pihak umum mengambil perhatian sikap tenang, mengawal emosi dan berfikir sejenak sebelum bertindak luar batasan dalam keadaan dunia semakin mencabar bagi elak kejadian sebegini berlaku.

“Kejadian itu adalah satu tragedi dengan impaknya memberikan kesan semua pihak terlibat termasuk keluarga tertuduh. Jadi, saya merasakan hukuman sesuai adalah penjara 16 tahun dari tarikh di tangkap,” katanya.

Sebaik hukuman itu dijatuhkan, keluarga mangsa yang hadir menangis dan berpelukan antara satu sama lain.

Terdahulu dalam proses mitigasi, Peguam Wee Choo Keong dan Yeo Wei Min yang mewakili tertuduh menjelaskan adalah tidak adil dan munasabah untuk meletakkan kesalahan dan kematian mangsa di atas bahu anak guamnya sahaja.

“Ini kerana tertuduh tidak mempunyai sebarang niat untuk menyebabkan kematian sebaliknya satu insiden malang bagi kedua-dua pihak. Pada akhirnya, kemalangan itu adalah kejadian malang diakibatkan oleh tindakan si mati. Sekiranya si mati hanya memandu pergi, pasti masih hidup hari ini.

“Justeru, pihak pembelaan memohon hukuman penjara enam tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap,” jelasnya. 

Tegasnya, isteri tertuduh juga mengalami keguguran yang disahkan pegawai penyiasat kes selepas direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dalam hujahan balasnya menegaskan perbuatan tertuduh sebagai tidak beretika sehingga meragut nyawa.

Menurutnya, kematian itu boleh dielakkan sekiranya tiada tindakan melulu tertuduh dalam kes ini dengan melihat tahap kecederaan dialami si mati. 

“Tindak tanduk tertuduh didapati adalah gagal mengawal emosi dan berlebihan. (Hukuman berat) sebagai pengajaran termasuk kepada orang awam dalam pemanduan dan ketika berdepan situasi sukar (sebegini) di jalan raya. Kes ini juga memberikan impak besar dan pernah tular suatu ketika dahulu,” ujarnya. 

Seramai 20 saksi pendakwaan dan 65 eksibit termasuk dokumen berkaitan dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung bermula 27 Oktober 2021.

Sementara, pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh yang memberikan keterangan di kandang saksi. 

Dalam kejadian 10 Ogos 2019, Syed Muhammad Danial dilaporkan meninggal dunia setelah terlibat dalam perselisihan faham dengan seorang pemandu lain dalam kemalangan berhampiran persimpangan Southville City di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Sebelum ini, kejadian melibatkan kes tersebut tular di media sosial dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil antara mangsa dan suspek selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya