PETALING JAYA: Seorang lelaki maut dengan kedua-dua kakinya digilis tren selepas terjatuh di landasan di stesen transit aliran ringan (LRT) Dato Keramat, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.05 malam tadi.
Katanya, seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki berusia 27 tahun terjatuh di landasan LRT berkenaan.
“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua kaki mangsa digilis tren dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, tindakan operasi dilakukan dengan mendapatkan bantuan daripada pihak teknikal LRT terbabit bagi menggerakkan tren ke bahagian belakang.
“Ia bagi memudahkan anggota bomba mengeluarkan mangsa dari landasan LRT. Mayat mangsa berjaya dibawa ke platform LRT beberapa minit kemudian,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- UTUSAN