SEOUL: Pergolakan membabitkan rumah tangga pelakon, Lee Bum Soo yang digembar-gemburkan netizen sebelum ini semakin hangat diperkatakan gara-gara perkongsian terbaru isterinya, Lee Yoon Jin di media sosial.
Yoon Jin memberi bayangan bakal bercerai selepas memuat naik sekeping gambar berserta kapsyen “pengakhiran bab pertama kehidupan saya” di Instagramnya baru-baru ini.
Pelakon tersebut selepas itu menghangatkan lagi spekulasi netizen apabila memuat naik satu lagi perkongsian berupa sebuah video di platform yang sama.
“Saya memutuskan untuk berhenti berbuat baik kepada individu rapat yang tidak layak menerima kebaikan saya. Kini, semua berakhir,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Bum Soo dalam pada itu bertindak memadam semua perkongsian di akaun media sosialnya, termasuk hantaran membabitkan isterinya.
Kedua pasangan tersebut sehingga hari ini tidak memberikan sebarang penjelasan dan terus mengunci mulut tentang spekulasi perceraian.
Pada masa yang sama, agensi pengurusan Bum Soo, Y.ONE Entertainment dalam kenyataan tampil menafikan spekulasi tersebut.
“Ia adalah masalah peribadi, tidak kena mengena dengan perceraian mahupun perpisahan,” tulisnya.