Lebih 1,000 penduduk Teluk Kumbar berhimpun bantah projek asrama warga asing - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 penduduk Teluk Kumbar berhimpun bantah projek asrama warga asing

SEBAHAGIAN daripada penduduk Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang bersama-sama pemimpin politik dan NGO daripada pelbagai latar belakang mengadakan demonstrasi aman membantah rancangan projek asrama pekerja warga asing di situ, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar dekat sini, mengadakan demonstrasi aman pagi ini bagi membantah serta mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan tersebut.

Demonstrasi aman itu turut disertai pemimpin politik setempat tanpa mengira parti antaranya Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau; Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas yang juga Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Azrul Mahathir Aziz dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menerusi demonstrasi itu, penduduk dan pemimpin politik setempat sebulat suara membantah projek pembinaan asrama warga asing tersebut kerana dikhuatiri akan mengancam kehidupan masyarakat tempatan.

SEBAHAGIAN daripada penduduk Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang bersama-sama pemimpin politik dan NGO daripada pelbagai latar belakang mengadakan demonstrasi aman membantah rancangan projek asrama pekerja warga asing di situ, hari ini.

Selain itu, satu resolusi bantahan pembinaan asrama itu turut diserahkan kepada Azrul Mahathir oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Prof. Dr Muhamad Idiris Saleh untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Muhamad Idiris berkata, hampir keseluruhan penduduk tempatan di Teluk Kumbar membantah pembinaan asrama pekerja asing di kawasan tersebut kerana bimbang dengan pelbagai masalah yang akan timbul pada masa depan.

MUHAMAD IDIRIS SALEH

Katanya, resolusi bantahan itu merupakan yang kedua dihantar kepada kerajaan negeri memandangkan resolusi bantahan yang dihantar pada Oktober tahun lalu tidak mendapat maklum balas.

”Kami mendesak kerajaan negeri membatalkan segera projek pembinaan asrama ini kerana lebih 87 peratus iaitu hampir semua penduduk tidak bersetuju dengan pembinaan asrama ini.

”Penduduk tidak dimaklumkan langsung mengenai cadangan pembinaan ini, tiba-tiba sahaja kami dapat tahu kebenaran merancang projek ini telah diluluskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilaporkan telah meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, berdasarkan kelulusan yang telah diperakukan di Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, dianggarkan seramai 32,680 pekerja warga asing akan ditempatkan di kawasan berkenaan.

Tambah Muhamad Idiris, masalah lalu lintas yang teruk akan berlaku di kawasan Teluk Kumbar memandangkan jumlah pekerja warga asing yang tinggi akan ditempatkan di situ sekiranya asrama tersebut dibina.

MUHAMAD Idiris Saleh (dua dari kanan) menyerahkan resolusi bantahan projek pembinaan asrama pekerja warga asing kepada Azrul Mahathir Aziz ketika demonstrasi aman di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, hari ini.

”Sekurang-kurangnya setiap satu shif 300 bas pekerja diperlukan untuk mengangkut pekerja warga asing ke kilang masing-masing kerana kawasan Teluk Kumbar dan Sungai Batu bukan kawasan industri.

”Kenapa kerajaan negeri tidak membina sahaja penempatan warga asing di dalam kawasan kilang-kilang dan mahu mengganggu kawasan penduduk tempatan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mengkaji tindakan undang-undang yang sesuai sekiranya kerajaan negeri tetap dengan keputusan membina penempatan warga asing di Teluk Kumbar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya