Langkawi semakin ceria

Langkawi semakin ceria

PENGUNJUNG bersantai di Pantai Chenang, Langkawi, Kedah. - UTUSAN/AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pemain industri pelancongan di sini kembali menarik nafas lega selepas pelancong mula membanjiri pulau ini sempena cuti persekolahan penggal kedua yang bermula minggu depan.

Tinjauan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di sini mendapati, kehadiran pelancong semakin meningkat dan ramai penyedia perkhidmatan pelancongan tidak menang tangan menerima tempahan yang banyak.

Seorang pengusaha kereta sewa, Mohd. Amirul Amar, 35, berkata, kereta sewanya ditempat sejak tiga bulan lalu.

“Untuk cuti sekolah kali ini kereta sewa sudah habis ditempah pelancong. Ramai rakan kereta sewa yang lain juga memberitahu kereta mereka habis ditempah terutama pada cuti Krismas sehingga ke cuti tahun baharu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Royal Langkawi Yacht Club, Azlan Abdullah berkata, kira-kira 300 hingga 400 pengunjung akan melalui marina di Fisherman’s Wharf di Jalan Dato’ Syed Omar, di sini bagi menaiki kapal persiaran untuk melihat matahari terbenam.

“Kalau dahulu, banyak pelancong asing sahaja yang minat menaiki kapal ini tetapi kini pelancong domestik juga sudah mula memilih produk pelancongan ini.
“Hotel yang ada di sini juga penuh ditempah bermula cuti sekolah ini sehingga kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) yang berlangsung bulan depan,” katanya.

Sementara itu, ejen pelancongan, Yasmiza Yum, 42, berkata, dia menerima banyak tempahan untuk kereta sewa dan hotel sempena cuti sekolah ini.

“Tempahan hotel yang berhadapan pantai Chenang penuh kerana ramai pengunjung ke sini mahukan suasana pantai.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/ Perlis, Effendi Ramley berkata, tempahan bilik-bilik hotel di tanah peranginan ini dijangka meningkat 100 peratus pada minggu kedua cuti persekolahan nanti.

“Kebanyakan hotel yang bertaraf tiga bintang ke bawah di Pantai Chenang mula menerima ketibaan pengunjung. Hotel-hotel mewah pula yang biasanya menjadi pilihan pelancong antarabangsa kini hampir penuh apabila 90 peratus bilik mereka ditempah,” katanya.

Effendi berkata, hotel-hotel mewah itu menerima tetamu yang kembali semula ke Langkawi sempena musim cuti Krismas dan cuti tahun baharu.

Menurutnya, hotel-hotel di Langkawi dijangka penuh menjelang minggu kedua cuti persekolahan sempena cuti Krismas.

“Jumlah kemasukan pelancong antarabangsa juga dilihat semakin meningkat terutama dari China dan Asia Timur,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Gabungan Industri Pelancongan Pulau Langkawi, (Langkawi Island Tourism Alliance – LiTA), Ahmad Pishol Ishak berkata, pulau ini kini menerima kemasukan pelancong yang lebih ramai.

“Situasi kemasukan pelancong di Langkawi adalah bermusim, jadi apabila musim cuti sekolah ini boleh dilihat Langkawi kembali rancak.

“Hotel tiga bintang ke bawah dan inap desa juga banyak ditempah terutama oleh pelancong tempatan yang datang bersama keluarga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN