PUTRAJAYA: Isu dan langkah menangani masalah pencemaran jerebu merentas sempadan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diluluskan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu dicapai pada sesi town hall bersama pihak berkepentingan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebelum dibawa mesyuarat Jemaah Menteri, satu kertas dasar dan intipati perbincangan daripada sesi town hall itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
“Ketetapan yang akan diperoleh ini seterusnya akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan pelaksanaannya,” katanya.
Katanya, penganjuran sesi town hall hari ini adalah sebahagian usaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam meneliti langkah jangka masa pendek dan panjang isu berkenaan.
Nik Nazmi berkata, sesi itu turut meneliti keperluan penggubalan instrumen perundangan
bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan secara efektif dan holistik.
Menurutnya, isu jerebu merentas sempadan ini berlaku sejak lebih 20 tahun, di mana tahun 1997 adalah insiden jerebu terburuk ketika itu.
“Sepanjang tempoh ini, pelbagai pendekatan di peringkat tempatan dan antarabangsa diambil oleh
Kerajaan Malaysia dalam menangani masalah ini.
“Malah, Malaysia juga memeterai Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) pada tahun 2003,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tindakan punitif boleh diambil di bawah perjanjian ini ke atas syarikat atau negara yang menyebabkan jerebu merentas sempadan di negara-negara yang terjejas.
Pada masa sama, katanya, NRES mengadakan mesyuarat bersama Bursa Malaysia, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi membincangkan mekanisme pelaporan oleh syarikat-syarikat perladangan milik Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di luar negara.
“Syarikat perladangan milik Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di dalam negara dan di Indonesia juga diingatkan untuk sentiasa memastikan langkah pencegahan pembakaran terbuka diambil sewajarnya,” katanya. -UTUSAN