PETALING JAYA: Sebanyak 19,794 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sepanjang cuti perayaan Krismas, minggu lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, jumlah saman tertinggi dikenakan adalah terhadap pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju iaitu 18,458 saman.
Katanya, sebanyak 484 saman dikenakan atas kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah, menggunakan alat komunikasi (399 saman) dan memotong barisan (280 saman).
“Sebanyak 101 saman dikeluarkan atas kesalahan menggunakan lorong kecemasan manakala kira-kira 72 saman terhadap pengguna jalan raya yang didapati memotong garisan berkembar.
“Selain itu, sebanyak 6,287 kemalangan direkodkan di seluruh negara sejak Jumaat hingga Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Mohd. Azman, daripada jumlah itu, sebanyak 60 kes kemalangan maut direkodkan manakala 24 kes melibatkan cedera parah dan 235 kes lagi membabitkan pengguna jalan raya mengalami cedera ringan.
Kata beliau, baki 5,968 kes kemalangan hanya melibatkan kerosakan.
“Bermula 22 Disember hingga cuti perayaan Krismas, sebanyak 8.65 juta jumlah kenderaan yang direkodkan melalui lebuh raya utama.
“Jumlah itu melibatkan kira-kira 7.67 juta kenderaan menggunakan Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS) manakala 982,089 kenderaan di Lebuhraya Karak serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT),” ujar beliau.
Dalam pada itu, pihaknya menjangkakan pertambahan kenderaan di lebuh raya di seluruh negara menjelang cuti tahun baharu, Isnin ini.
Justeru, kita menasihatkan pengguna-pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang ditetapkan.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 808 petugas JSPT di kawasan hotspot dan blackspot yang dijangka berlaku kesesakan serta kemalangan bagi memastikan aliran trafik terawal sempena sambutan Hari Krismas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 77 orang terdiri pegawai manakala 731 merupakan anggota polis.
Mohd. Azman dilaporkan berkata, tindakan itu selepas pihaknya menjangkakan berlaku pertambahan aliran kenderaan dan kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Jalan Persekutuan, Negeri dan Bandaran sempena cuti ini.
Kata beliau, penugasan itu akan memberi fokus kepada pengguna jalanraya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas seperti memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan dan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
“Kita (JSPT) juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan lampu isyarat merah danmenggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya.
Menurut beliau, PDRM khususnya JSPT meneruskan operasi seperti biasa terutama menjelang ambang tahun baharu 2024.
Katanya, ia adalah tanggungjawab utama PDRM berpaksi kepada Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 iaitu memelihara undang-undang dan ketenteraman dan menjaga keselamatan dan keamanan negara. – UTUSAN










