Amanah sedia terima Pas dalam Kerajaan Perpaduan

Konvensyen Wanita Amanah: Amanah sedia terima Pas dalam Kerajaan Perpaduan

Konvensyen Amanah
ADLY Zahari berucap pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional 2023 di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Parti Amanah bersedia menerima Pas untuk bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan jika parti itu bersedia menyokong kepemimpinan Perdana Menteri untuk terus mentadbir negara sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, malah partinya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Pas dan tidak menganggapnya sebagai sebuah persaingan dalam gabungan blok kerajaan.

“Tidak ada masalah (untuk terima Pas sertai Kerajaan Perpaduan), tidak timbul soal masalah, kalau Pas merasakan mereka mahu menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, itu memang kita alu-alukan.

“Supaya politik kita lebih stabil, Perdana Menteri boleh terus memimpin dan saya fikir kesejahteraannya adalah untuk rakyat secara keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (Awan) Nasional 2023, hari ini.

Beliau menambah, Amanah tidak menganggap Pas sebagai seteru, parti itu mengenali lawan politiknya dan menegaskan bersedia mengenepikan kepentingan politik untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

“Sebenarnya tidak, kita ada lawan politik, tetapi kadang-kadang bila kita memikirkan rakyat, kita tahu bahawa kadang-kadang lawan itu menjadi kawan kita kerana prinsip untuk menjaga kepentingan rakyat itu mengatasi kepentingan parti politik dan individu.

“Kalau lihat di Malaysia, semua yang pernah berlawan pernah menjadi kawan, itu bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Sebab itu dari awal lagi kita sebenarnya bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan itu asas prinsip parti politik kita.

“Kerana bagi kita, buat masa ini perpaduan paling penting, cuma macam kita sebut isu-isu melibatkan 3R (perkauman, agama dan institusi diraja) itu jangan dimanipulasi untuk kepentingan politik kerana bagi kita masa depan Malaysia akan terjejas dan kestabilan politik tidak wujud, paling penting perpaduan kita akan terganggu,” jelasnya.

Terdahulu, dalam konvensyen hari ini, lebih 600 perwakilan dari 113 kawasan di 12 Awan Negeri hadir dan akan memilih 27 jawatankuasa tertinggi sayap Parti Amanah yang berlangsung hari ini.

Selain itu terdapat tiga usul akan dibentangkan dan dibahas iaitu 3R, rang undang-undang pekerja sosial yang digesa untuk disegerakan dalam pada Malaysia menuju negara menua keperluan-keperluan dengan kanak-kanak, serta krisis yang dihadapi rakyat Palestin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN