KLANG: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Datuk Seri Mohamad Sabu kekal sebagai Presiden Parti Amanah bagi penggal terakhir dalam tempoh 2023-2026 apabila dipilih dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu yang diadakan hari ini.
Sementara Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula dipilih sebagai Timbalan Presiden yang sebelum ini kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang sebelum ini pula diangkat sebagai Naib Presiden, sementara dua lagi kekal di jawatan sama iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Keputusan pemilihan jawatan-jawatan utama parti itu diumumkan oleh Speaker Amanah yang baharu, Azhar Ab. Syukur dan timbalan, Onn Jaafar sewaktu Konvensyen Amanah Nasional 2023, hari ini.
Mohamad dalam ucapan penangguhannya berkata, ini merupakan penggal terakhirnya sebagai presiden dan memaklumkan parti akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada 2028 dengan kepemimpinan baharu.
“Saya tahu dengan segala kelemahan ini saya akan memimpin bersama dengan rakan-rakan sekarang konvensyen sudah bulan disember, tahun depan konvensyen lagi sekali janganlah akhir tahun sangat. 2026 saya terakhir sebagai presiden parti.
“PRU kalau genap lima tahun 2028, maka menjelang pilihan raya pimpinan baru akan muncul memimpin Amanah, kita tak mahulah menangguhkan konvensyen ke 18 bulan, kita kena buat ikut jadual, kita harap pimpinan baru memimpin dan menghadapi pilihan raya pada 2028,” katanya.
Sebelum itu, Mujahid dalam ucapan penggulungannya memberitahu pemilihannya sebagai timbalan presiden yang baharu adalah bersandarkan kepada konsep rahmah yang dipegang parti di semua peringkat.
“Keputusan yang dibuat sebentar tadi adalah benar-benar bersandarkan kepada konsep rahmah yang kita pegang. Tak kira berapa undi diterima, namun para perwakilan menyatakan hasrat dan kami menghormati setiap undi diberikan.
“Namun, parti kita ini, mempelajari daripada pengalaman parti-parti lain, kita ada lagi stu tahap bagi memastikan kepemimpinan dilantik dengan cara bersikap syura. Alhamdulillah semuanya dengan konsensus. Tetapi saya kira apa yang lebih utama ialah tanggungjawab amanah yang berat yang kita pikul,” ujarnya.
Terdahulu, dalam pemilihan jawatankuasa nasional Amanah, Dzulkefly mengungguli undian tertinggi antara 27 yang terpilih jawatankuasa nasional Amanah apabila memperoleh sokongan 900 undi dalam pemilihan parti itu.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menduduki tempat pertama meninggalkan presiden dan timbalannya masing-masing dengan 699 dan 613 undi.
Manakala, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, menduduki tangga kedua dengan perbezaan satu undi iaitu 899.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof memperolehi 755 undi menduduki tangga ketiga diikuti Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri; bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (694); Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (682) dan bekas , Adly Zahari (643).
Menduduki tangga kesembilan, Datuk Dr. Hasan Bahrom (595), seterusnya bekas Exco Selangor, Dr. Siti Mariah (584); Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (555); Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (549), Muhammad Faiz Fadzil (527) dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan (520).
Manakala, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Selangor, Anfal Saari menduduki tangga ke-15 dengan 515 undi, sementara seorang lagi exco negeri ini, Izham Hashim mendapat 512 undi.
Tempat ke-17 diduduki Datuk Dr. Ismail Salleh dengan 489 undi, seterusnya Ahmad Sabki Yusof (467); Lahirul Latigu (465); Dr. Ahmad Termizi Ramli (462); Datuk Asmuni Awi (457); Exco Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (442); Ridzwan Abu Bakar (425) dan Datuk Sofi Wahab (423).
Bagi tiga tangga terakhir pula diduduki Wan Anwar Wan Ibrahim dengan 388 undi; Dr. Muhaimin Sulam (383) dan Abang Ahmad Kerdee Ahmad Masagus (377) masing-masing menduduki tangga ke 25, 26 dan 27. – UTUSAN










