PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker menafikan bahawa dirinya mempertikaikan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputra, sebaliknya mendakwa kenyataannya diputar belitkan sehingga melihatkan ia seperti berbaur perkauman.
Tampil mempertahankan dirinya, Lian Ker berkata, kenyataan beliau adalah bersasar terhadap kegagalan Kongres Ekonomi Bumiputera untuk meningkatkan kedudukan ekonomi golongan sasaran setelah berpuluh tahun disebabkan budaya rasuah dan salah guna kuasa.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan kerajaan supaya menerajui kongress ekonomi merangkumi semua di Malaysia demi mempertingkatkan ekonomi negara sekali gus menyelesaikan masalah ekonomi secara menyeluruh.
“Saya bukan hendak menidakkan hak orang Melayu atau pun berniat mempersoalkan pelaksanaan Kongres Bumiputera ini tetapi apa yang cuba saya sampaikan ialah sudah tiba masanya Kongres Bumiputera ini tidak lagi ditunggang demi meraih political brownie points (keuntungan politik) atau dijadikan platform kesempatan oleh sesetengah pihak yang oportunis.
“Saya berharap Kerajaan Madani mampu mengubah stigma terhadap kongres Bumiputera ini dan benar-benar menganjurkan kongres yang menguntungkan rakyat dan negara dengan rangka jangka masa panjang.
“Ia berupaya membawa kemajuan yang kekal kepada keseluruhan rakyat dan Melayu dan bukannya keuntungan sementara kepada beberapa lapisan atasan masyarakat Melayu dengan memperkudakan agenda Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, kenyataannya dikeluarkan berlandaskan petikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas duta, Dennis Ignatius yang beliau bacakan di Dewan Negara minggu lalu.
“Sekali lagi saya ingin membetulkan semua kenyataan yang berbau perkauman dan penghasutan terhadap saya bahawa saya membantah “Kongres Melayu”. Ia adalah kenyataan orang lain, bukan kenyataan saya.
“Kongres Bumiputera, Cina dan India yang diadakan oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bebas diteruskan tetapi jangan pula Kementerian Ekonomi atau Kerajaan Madani digunakan untuk menggembelingkan masa, tenaga dan sumber kerajaan untuk mengadakan kongres satu kelompok.
“Tugas kerajaan seharusnya menjaga kepentingan semua lapisan ekonomi merangkumi keseluruhan negara,” katanya.
Jelas Lian Ker, kerajaan perlu menganjurkan kongres yang benar-benar menguntungkan semua rakyat dan Melayu serta menghentikan stigma kegagalan kongres Bumiputera.
“Masalah ekonomi tidak akan selesai sekiranya kerajaan dan Kementerian Ekonomi yang sepatutnya menjaga rakyat dan negara serta keseluruhan ekonomi cuma menumpukan perhatian pada satu komuniti secara eksklusif dan tidak interaktif.
“Amalan rasuah telah menggagalkan agenda membantu Melayu dan negara, lebih-lebih lagi apabila ‘peruntukan yang besar’ diperuntukan tetapi lesap atau disalurkan kepada golongan dan lapisan tertentu, katanya. – UTUSAN