Kisah posmen cedera dakap erat surat berdaftar - Utusan Malaysia

Kisah posmen cedera dakap erat surat berdaftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA masih ingat lagi rumah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. No.75, Jalan Setia Jasa, Bukit Damansara.” 

Itu perkongsian bekas penghantar surat, Nor Lisman Abu, 70. Namanya pernah mencetuskan fenomena dek keikhlasan dan integriti yang dipegang sepanjang memakai lencana ‘postmen’ di Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) (kini dikenali sebagai Pos Malaysia). 

Banyak kenangan manis dilalui dan paling tidak boleh dilupakan adalah berpeluang menghantar surat ke rumah selebriti tanah air. 

Selain kediaman legenda seni, Allahyarham Sudirman, beliau juga pernah menghantar surat ke rumah seniwati, Allahyarham Azean Irdawaty. 

“Saya tak pernah terdetik hendak buka surat itu dan baca isi kandungannya walaupun kebanyakannya adalah kiriman surat daripada peminat mereka. 

“Saya tahu tugas saya dan menghantar surat seperti biasa. Segala dokumen atau butiran kita tak ambil tahu. 

“Sekadar lihat nama penerima, alamat rumah betul, kemudian baru kita serahkan surat. Itu adalah amanah yang perlu dijunjung,” tegasnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras, baru-baru ini.

PERISTIWA BERDARAH 

Kira-kira 41 tahun lalu, masih segar dalam ingatan Nor Lisman mengenai insiden malang yang dialaminya sehingga berisiko ‘mati’. 

Peristiwa yang berlaku pada 10 Ogos 1982 di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, ibarat berpantang maut sebelum ajal.  

“Masa itu, saya berada di selekoh jalan dan tiba-tiba ada sebuah kereta yang melulu laju dan melanggar lampu isyarat berwarna merah. 

“Kereta tersebut tak sempat brek lalu melanggar sehingga saya melambung ke tebing jalan. 

“Kebetulan polis trafik berada di situ dan menahan kereta lain untuk menghantar saya ke hospital berdekatan. 

“Walaupun dalam keadaan berdarah dan diusung atas stretcher, saya menggenggam erat surat yang dibawa ketika itu,” katanya mengimbas kenangan. 

Sikapnya yang lebih mengutamakan dan memegang erat surat berdaftar yang diamanahkan meskipun cedera parah akibat kemalangan jalan raya, disanjung tinggi rakyat Malaysia. 

Peristiwa berdarah itu menyebabkan namanya menjadi popular sekelip mata apabila mendapat liputan meluas di akhbar tempatan. 

Keikhlasan dirinya menjalankan tugas turut mendapat perhatian pihak Istana Negara sehingga melayakkan dirinya menerima anugerah Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada 2004. 

“Hantar surat adalah nadi pekerjaan saya. Kalau hilang surat yang dihantar, gelap masa depan nanti. 

“Setiap kali taklimat menerima tugas, kami sentiasa diingatkan oleh pihak pengurusan supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas lebih-lebih lagi ketika membawa surat berdaftar,” kongsinya.   

HARUMKAN NAMA POS MALAYSIA  

Bermula sebagai penghantar surat, Nor Lisman kemudian dinaikkan pangkat sebagai penyelia kanan dan menjadi tenaga pengajar di JPP. 

Katanya, disiplin adalah kunci utama untuk berjaya dalam apa-apa bidang yang diceburi sekalipun, selain menjaga integriti sebagai pekerja.  

“Semasa menjadi tenaga pengajar, saya bimbing pekerja baharu termasuk kerani dan penghantar surat mengenai disiplin tugasan, peraturan kerja dan aspek keselamatan. 

“Kalau hidup tidak berdisiplin, buat kerja main ‘cincai’ sahaja dan hanya fikir cukup bulan dapat gaji, itu tidak akan menjamin masa depan. Apa yang penting adalah keikhlasan diri,” kongsinya. 

Sedar dirinya tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, bapa lima anak ini tidak pernah terfikir untuk ‘melompat’ kerja lain dan sentiasa fokus dengan bidang yang diceburi. 

Pejam celik, selama 36 tahun dirinya berkhidmat dengan jabatan itu kerana begitu mencintai pekerjaan yang dilakukan. 

“Setiap hari saya akan masuk kerja pada pukul 6 pagi dan kemudian balik ke rumah pada pukul 10 malam. 

Postmen adalah kerja mulia. Postmen orang sayang. Jangan pernah sesekali timbul perasaan malu. 

“Kita sebenarnya adalah duta kecil Pos Malaysia yang membawa imej yang baik. Sudah tentu orang akan puji, kalau bawa imej buruk orang akan kutuk,” pesannya. 

Nor Lisman berbangga apabila bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang pernah mengidolakan dirinya ketika kecil menjemputnya hadir ke pejabat, 

“Menteri cakap saya adalah idolanya sejak kecil. Kalau setiap kali sesi perhimpunan di sekolah, nama saya menjadi sebutan dan contoh,” katanya.   

AKTIF JADI KETUA KAMPUNG 

Walaupun boleh memilih menikmati duit pencen dan bermain dengan 15 cucu di rumah, ternyata lelaki ini bukan seorang yang boleh duduk diam. 

Memegang jawatan sebagai Ketua Kampung di daerah Hulu Langat sejak 2016, banyak khidmat dan jasanya sehingga menggalas tanggungjawab itu selama tujuh tahun. 

“Alhamdulillah, penduduk kampung masih meletakkan kepercayaan besar kepada saya. 

“Saya memang buat kerja sepajang menjadi ketua kampung dan sentiasa memastikan aspek keselamatan dan kebersihan di kampung ini. 

“Setiap pagi saya akan meronda kampung dan banyak aktiviti serta permintaan penduduk saya penuhi. Pernah tengah malam, penduduk hubungi saya sebab tak tahan jiran bergaduh.

“Begitu juga dengan aktiviti pemuda. Saya sendiri adalah penasihat Seni Silat Gayong cawangan Kampung Sungai Raya yang mendapat penyertaan daripada kanak-kanak berusia enam tahun hingga remaja 16 tahun,” kongsinya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya