Ketika rumah tangga goyah, satu akan setia, satu akan pergi - Utusan Malaysia

Ketika rumah tangga goyah, satu akan setia, satu akan pergi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saling mengalah dan melupakan ego adalah kunci yang menyelamatkan rumah tangga pelakon Beego, 43, dan isterinya, Linda Hashim, 39, selepas diuji dengan ‘penceraian sementara’ pada Mac lalu.

Menurut Beego, hubungan mereka menjadi retak kerana kurangnya komunikasi menyebabkan masing-masing saling memendam.

“Bila rumah tangga kita dalam keadaan goyah, satu akan pergi manakala satu lagi akan kekal. Waktu itu saya yang pergi dan Linda masih setia di situ.

“Linda minta saya kembali dan cakap sesuatu yang membuatkan saya tersedar untuk menyelamatkan rumah tangga. Ini bukan tentang siapa salah atau siapa paling ego. Kita hanya perlukan seorang untuk berkata sesuatu kepada pasangannya.

“Di akhirnya, yang akan melindungi keluarga kita hanya dua tangan kami sahaja. Tiada sesiapa boleh pecahkan keluarga kami. Jika kami tidak lindungi, siapa lagi?” katanya.

Beego ditemui Utusan Malaysia di sidang media dan majlis tayangan perdana filem Syaitan Munafik, semalam.

Mengulas mengenai fasa penceraian tersebut, Beego mengakui mungkin sebelum ini dia dan Linda kurang matang dalam menyelesaikan konflik.

Namun begitu, masing-masing memang tidak menghebahkan atau memberi ‘petanda’ apa yang terjadi dalam rumah tangga mereka di media sosial.

“Memang kami hanya diam-diam. Kami bukan perahsia cuma tidak suka menghebahkan. Orang dapat tahu pun apabila saya ada terserempak dengan Puteri Sarah semasa kesnya di mahkamah.

“Mungkin kami pun belum cukup matang dan inilah fasa yang perlu saya hadapi. Kami berpisah pun bukan sebab kewangan atau orang ketiga. Ia hanya masalah komunikasi,” katanya.

Sebelum ini, Beego dan Linda disahkan bercerai pada 27 Mac lalu. Namun begitu, jodoh mereka kuat apabila rujuk semula dalam tempoh edah pada 9 April lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN