Keputusan kes gagal sah nikah libat bekas ADUN 22 Januari 2024

Keputusan kes gagal sah nikah libat bekas ADUN 22 Januari 2024

NOOR Azmi Yusof (tengah) hadir pada prosiding pengesahan pernikahan dengan isteri keduanya di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, di sini semalam kesal apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof, 56, masih gagal hadir bagi prosiding pengesahan pernikahan dengan isteri keduanya, walaupun waran tangkap dikeluarkan pada 30 Oktober lalu.

Hakim Syarie Ruzita Ramli turut menolak alasan peguam responden, Asmawi Ismail yang menyatakan anak guamnya baru sahaja pulang dari umrah dan mempersoal tindakan yang perlu diambil peguam dalam memastikan anak guam hadir ke mahkamah seperti yang dijadualkan pada pukul 9 pagi.

Ia bagi menyelesaikan kes pengesahan pernikahan yang dibuat pemohon, Norhaya Rahmat, 50, yang dinikahi bekas ADUN berkenaan pada 27 Julai lalu.

“Saya arahkan waran tangkap (sebelum ini). Saya tidak mahu dengar alasan, kenapa tidak pastikan hadir bersama-sama peguam? Sekarang pukul berapa? Kalau peguam tidak boleh menghormati mahkamah, bagaimana masyarakat mahu menghormati mahkamah.

“Tangguh kes lain dahulu, saya mahu kes ini berjalan pada hari ini (semalam). Saya mahu buat siasatan, siasatan boleh dijalankan dan kes boleh selesai,” katanya sambil membenarkan kes ditangguh selama 15 minit bagi menunggu responden hadir.

Prosiding kemudian ditangguhkan pada pukul 10.35 pagi dan Nor Azmi tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.50 pagi serta menunggu giliran kes dipanggil semula.

Sebelum ini, media melaporkan Norhaya yang bekerja sebagai juruaudit di sebuah syarikat swasta terkejut apabila mendapati pernikahannya tidak didaftar secara sah walaupun bernikah di Malaysia selepas ingin membuat pengesahan cerai.

Norhaya memaklumkan bahawa dia telah dinikahkan oleh kadi Pejabat Agama Islam dari Jelebu di sebuah hotel di Seremban sebelum diceraikan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Menurutnya, dia terpaksa menguruskan pendaftaran perkahwinan mereka secara bersendirian pada 11 September lalu bagi tujuan pengesahan cerai.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Januari tahun depan untuk prosiding keputusan kes bagi pengesahan nikah.

Dalam pada itu, Norhaya ketika ditemui selepas prosiding kes berkenaan menarik nafas lega apabila bekas suaminya itu mengakui pernikahan mereka yang sebelum ini tidak didaftarkan termasuk membawa seorang saksi semasa bernikah serta bercerai.

Menurutnya, dia berharap agar kes berjalan dengan lancar dengan kehadiran bekas suaminya itu yang sebelum ini gagal hadir sebanyak dua kali dan berharap bekas suaminya itu akan hadir pada prosiding akan datang.

“Saya hanya mahukan kes ini selesai kerana kes ini sebenarnya mudah dan hanya memerlukan kerjasama serta pengakuan daripada responden sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN