Kemenangan besar isyarat jelas segerakan royalti minyak - Bersatu

PRK Kemaman: Kemenangan besar isyarat jelas segerakan royalti minyak – Bersatu

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) daripada Pas memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar, 37,220 undi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menyifatkan, kemenangan besar Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam sebagai isyarat jelas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan royalti minyak negeri itu. 

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata,  UMNO ‘memberi solid’ sebanyak 10,041 undi kemenangan calon Pas dan Perikatan Nasional (PN) di PRK Kemaman. 

Justeru, dakwanya, kemenangan penuh barakah calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ‘hadiah istimewa’ dari UMNO untuk Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang genap setahun mentadbir. 

Terima kasih kepada (10,041) ahli dan penyokong UMNO dengan menterjemah undi yang bermakna dan memberi mesej sangat jelas kepada PMX (Anwar). 

“Rakyat sudah bersedia bersama PN dan Pas sebagai wadah suara rakyat masa kini dan masa depan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Pas mempertahan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti besar, 37,220 undi. 

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang sekadar mendapat 27,778 undi. 

Majoriti yang diperoleh Menteri Besar itu lebih tinggi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu, Che Alias Abd. Hamid (27,179 undi) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas. 

Razali yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, pimpinan UMNO bukan lagi membawa suara Melayu Islam Bumiputera pada masa kini. 

Dakwanya, ini kerana mereka sudah hilang kemelayuan, malah bersekongkol mendera rakyat Terengganu. 

“Berilah apa sahaja sogokan, tetapi pengundi sudah meluat dengan pelbagai alasan karut marut menidakkan royalti minyak Terengganu. 

“Kerana ego menebal, pimpinan UMNO bersekongkol dengan DAP sehingga tergelincir dari asas perjuangan Melayu Islam serta tanah air.

“Sekarang semuanya terlepas. Terlepas menang! Terlepas undi orang UMNO! Terlepas undi orang Melayu! Terlepas kepercayaan rakyat!

“Elok segerakan kembalikan royalti minyak Terengganu sebelum rakyat bangkit secara total,” katanya. 

Untuk rekod, PRU15 menyaksikan, Che Alias menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN