PETALING JAYA: Lelaki yang maut digilis tren transit aliran ringan (LRT) di stesen Dato Keramat, dekat sini malam tadi dipercayai turun ke landasan sendiri.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.56 malam daripada anggota polis bantuan.
“Siasatan mendapati mangsa yang juga lelaki tempatan bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.
“Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa melompat dan baring di landasan lalu dilanggar oleh LRT berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki maut dengan kedua-dua kakinya digilis tren selepas terjatuh di landasan di stesen LRT Dato Keramat, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.05 malam.- UTUSAN